Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Kalaulah nilai RM1 juta tu adalah bayaran sebuah persahabatan'
Diterbitkan:  Aug 2, 2021 3:47 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Berdepan dengan saman daripada Siti Nordiana, malam tadi isteri Lan Solo, Nur Sheila Hassim, meminta penyanyi terbabit menjelaskan mengapa hubungan mereka tidak cuba dijernihkan walaupun usaha untuk itu dilakukan sejak setahun lalu.

Nur Sheila berkata, lebih setahun dia dan Lan Solo cuba mendapatkan penjelasan daripada penyanyi Tragedi Cinta itu namun tidak membuahkan hasil.

Mengakui sedia bekerjasama berhubung tuntutan ke atasnya - serta empat yang lain - bernilai RM200,000 setiap satu, dia juga 'pasrah' apabila persahabatan mereka selama ini seolah-olah bernilai RM1 juta.

“Kami sedia beri kerjasama. Kalaulah nilai RM1 juta tu adalah bayaran sebuah persahabatan…" katanya melalui Insta Story.

Menurut Nur Sheila dia mengambil masa lama dengan berdiam diri dan membiarkan mereka dikecam malah kematian bapa mentuanya juga dipersendakan.

“Lebih setahun kami mencari dan minta penjelasan (daripada Siti Nordiana). Kenapa kami diperlakukan begini? Senyap, sunyi dan sepi, panggilan, WhatsApp semua disekat.

"Usaha tambahan apa lagi perlu kami lakukan?” jelasnya.

Jelas Nur Sheila lagi, seperti Siti Nordiana yang berhak menggunakan khidmat guaman, mereka juga ada hak untuk diberikan pencerahan berkaitan konflik yang tercetus itu.

Dah maafkan semua kutukan

Katanya dulu mereka boleh berhubung sama ada melalui panggilan video atau mesej namun hal itu tidak boleh berlaku ketika ini.

"Kalau dulu semua boleh dikongsi, kenapa hari ni semua tak boleh?

“Dan kenapa tutup semua ruang perbincangan? Guna orang tengah untuk menyampaikan? Dalam sesi siaran langsung tu berulang kali kami nyatakan jom berjumpa dan tahu nak cari kami di mana,” katanya.

Terdahulu, pada sesi Instagram Live, Nur Sheila mendakwa Siti Nordiana dan pengurusnya Anas Osman menyebarkan cerita tidak baik mengenai dirinya serta Lan kepada rakan di sebuah stesen TV.

Untuk rekod, selain Nur Sheila, sesi secara langsung itu turut dihadiri oleh Lan, penyanyi Syura Badron, Pegawai Perhubungan Awam FMC Sam Samin, serta jurusolek, Aida G.

Siti Nordiana kemudian bertekad meneruskan tindakan undang-undang selepas tuntutan permohonan maaf yang diberikan - selama tempoh 24 jam - gagal dipenuhi kelima-lima individu terbabit.

Dalam tuntutannya itu, penyanyi Angkara tersebut juga meminta mereka membayar pampasan bernilai RM200,000 seorang.

Menurut Nur Sheila, disebabkan perseteruan itu, kini mereka menjadi sasaran kecaman orang ramai tanpa henti.

Katanya, dia berharap akan ada jalan penyelesaian dapat dicari selain kemelut tersebut berakhir dengan baik selain memaafkan pihak yang mengutuk mereka.

“Saya dah suami memaafkan semua kutukan, kecaman dan kritikan terhadap kami. Cuma adalah lebih baik yang ramai ni mendoakan segalanya berakhir dengan perkara lebih baik daripada terus play victim.

“Nyata kalian tidak berada di tempat kami dan tidak berasa peritnya menjadi kami,” akhirinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS