Ahmad Fedtri Yahya menerima Anugerah Tokoh Khas Kategori Pendakwah Kreatif peringkat Wilayah Persekutuan melalui Program Ma’al Hijrah bertemakan Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) semalam.

Pengacara dan penulis lirik itu berkata, kejayaan yang dikurniakan itu sebenarnya hasil kerjasama dengan pelbagai pihak.

“Ya Allah terkejut sangat dan pada masa sama bersyukur atas penghargaan ini.

“Juga buat pasukan hebat dalam menghasilkan lagu-lagu berjiwa besar. Tidak lupa pasukan yang berjuang untuk menghasilkan buku-buku bermakna. Biar kecil tetapi istiqamah insya-Allah.

“Terima kasih rakan sekerja, sahabat- sahabat sejati dan penyokong yang sentiasa memberi kata semangat. Istimewa buat keluarga, isteri dan anak-anak tercinta yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan inspirasi,” katanya.

Anugerah tersebut adalah bagi mengiktiraf sumbangan Ahmad Fedtri, 40, yang aktif dalam menyampaikan mesej berunsur dakwah di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

Ia juga termasuk sumbangannya ketika menjadi pengacara Malaysia Hari Ini (MHI), Jejak Rasul, Madrasah, Dari Masjid Ke Masjid, Sahabat Backpackers, Sebalik Malam, Soal Rakyat dan banyak lagi.

Antara buku yang pernah dihasilkan oleh Ahmad Fedtri ialah Kezaliman Cinta, Mahkota Kiasan, Haruman Puisi Cinta & Coconut Shake Satu dan Pantun Penyeri Pengantin.

Selain itu, dia juga pernah dinobatkan sebagai penulis lirik lagu terbaik seperti Mikraj Cinta, Kasih Padamu dan Pahlawan Zafana serta terbaharu Coretan Pilu yang menjadi lagu runut bunyi drama Ayahanda di TV3.

Antara kejayaan lain bagi Ahmad Fedtri ialah merangkul Anugerah Majalah Terbaik: Sahabat Backpackers dan Anugerah Suntingan Terbaik (Mana Kawan Adik) menerusi Anugerah Skrin 2019 serta Rancangan Bual Bicara Terbaik MHI (Anugerah Skrin 2014). Fedtri juga merupakan Duta Malaysia For Syria, Ikon Akademik NCER USM dan Karyawan Seni USIM.

Untuk rekod, kini Ahmad Fedtri turut berjinak-jinak dunia penyiaran radio.

Kata Ahmad Fedtri, ilmu perlu dikongsi kepada semua dan dia akan terus berkongsikan pengalaman dan mesej yang dapat membimbing seseorang menjadi insan yang lebih baik.

“Ilmu ini meluas. Saya pula suka berkarya dan segala ungkapan yang ingin disampaikan akan dikongsi menerusi buku mahupun lirik lagu yang lebih mudah untuk difahami dan diingati semua,” katanya.

Program tersebut turut menobatkan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Mejar Jeneral Kamaruddin Mamat, Anugerah Tokoh Khas Kategori Frontliner kepada Dr Ismuni Bohari

(Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan) dan Roslee Ali (Penggali kubur di tanah perkuburan Raudhatul Sakinah), Anugerah Tokoh Khas Kategori Korporat iaitu Ramly Mokni dan Anugerah Tokoh Khas Kategori Mualaf Nurmaisarah Leong Yoke Keen (Pembantu Mubaligh, Bahagian dakwah Jakim).