Seorang lelaki yang pernah menghiasi kulit album band grunge legenda AS, Nirvana menyaman anggota kumpulan berkenaan dan pengendali harta pusaka Kurt Cobain atas tuduhan eksploitasi seksual kanak-kanak.
Dalam tuntutan difailkan 24 Ogos lalu, Spencer Elden - yang kini berusia 30 tahun - mendakwa band terbabit melanggar undang-undang pornografi kanak-kanak serta mendakwa ibu bapanya tidak pernah menandatangani kebenaran bagi membenarkan Nirvana menggunakan gambar terbabit.
Tuntutan difailkan di Mahkamah Persekutuan Los Angeles itu menyebut, Elden mendakwa identiti dan namanya selama-lamanya terlibat dalam ekploitasi komersial seksual ketika dia di bawah umur, lapor CBS News.
Album berjudul Nevermind itu juga diedarkan dan dijual di seluruh dunia sehingga kini.
Menurut saman itu, defendan dengan sengaja menghasilkan, memiliki dan mengiklankan pornografi komersial kanak-kanak dengan memaparkan gambar Elden untuk tujuan promosi album itu.
Bagaimanapun, defendan didakwa gagal mengambil langkah yang wajar untuk melindungi Elden dan mencegah gambar itu tersebar luas serta menghalang eksploitasi seksual terhadap dirinya.
Kulit album menggambarkan Elden, yang berusia 4 bulan ketika gambar itu diambil, telanjang dan berenang di dalam kolam serta di sisinya terdapat wang AS$1 yang diikat pada mata kail.

Saman itu menyebut, gambar dipilih oleh vokalis dan gitaris Nirvana, Cobain itu menggambarkan seolah-olah bayi berkenaan adalah seorang pekerja seks yang sedang meraih sekeping wang dollar.
Tuntutan itu juga mendakwa ibu bapa Elden tidak pernah membenarkan band terbabit menggunakan gambar berkenaan yang diambil dari sebuah pusat perairan Pasadena pada tahun 1990.
Malah lelaki itu juga tidak mendapat sebarang pampasan.
“Ia mengakibatkan Elden menderita dan akan terus menderita seumur hidup,” kata tuntutan itu.
Elden menuntut ganti rugi AS$150,000 daripada setiap defendan termasuk Universal Music Group, jurugambar Kirk Weddle, pemain dram Nirvana Dave Grohl, pemain bass Nirvana Krist Novoselic dan Courtney Love iaitu balu kepada Cobain.
Untuk rekod, Nevermind terjual lebih dari 30 juta salinan sejak dilancarkan pada tahun 1991.
Nevermind adalah album kedua mereka yang membariskan lagu popular seperti Smells Like Teen, Lithium, In Bloom, Pollly dan Come as You Are.
Nirvana, ditubuhkan di Aberdeen, Washington pada 1987 oleh Cobain dan basis Krist Novoselic. Dave Grohl menyertai kumpulan tersebut pada 1990.
Cobain mengalami masalah ketagihan heroin dan kesihatan seperti kemurungan sebelum ditemukan meninggal dunia pada 5 April 1994.
