Mahkamah lucutkan hak bapa kendali harta Britney Spears
Bapa Britney Spears, Jamie Spears, dilucutkan hak penjagaannya ke atas penyanyi terbabit selepas bertahun-tahun dituduh melakukan penyalahgunaan ke atas artis popular era 1990-an itu.
Arahan itu dikeluarkan hakim Mahkamah Los Angeles dan berkuatkuasa semalam.
Hakim Brenda Penny turut mengarahkan Jamie memulangkan semua aset penyanyi berkenaan - yang dianggarkan AS$60 juta (RM251 juta) - kepada penjaga sementara.
“Saya percaya… bahawa penggantungan Jamie Spears adalah demi kepentingan Britney Spears,” kata hakim itu dalam perbicaraan berlangung selama tiga jam.
Jamie dilantik sebagai penjaga aset Britney pada 2008 ketika penyanyi itu berdepan isu masalah kesihatan mental, lapor BBC.
Hak penjagaan seperti itu diberikan mahkamah untuk individu yang tidak berkemampuan membuat keputusan sendiri akibat masalah tertentu seperti mengalami masalah dimensia atau penyakit mental lain.
Hak tersebut dibahagi kepada dua kategori. Satu, untuk harta pusaka dan kewangan, manakala kedua untuk haknya sebagai seorang individu. Mengikut perjanjian tersebut, Britney tidak mempunyai hak untuk mengawal kewangannya sejak 2008.
Asalnya, Jamie bertanggungjawab ke atas kedua-dua hak penjagaan tetapi terpaksa mengundurkan diri pada 2019 ekoran masalah kesihatan.
Yang terbaik buat Britney
Pada ketika itu, seorang penjaga amanah profesional, Jodi Montgomery, dilantik menggantikan peranan Jamie buat sementara waktu.
Dalam perbicaraan, Brenda secara rasmi mengakhiri hak penjagaan penyanyi Toxic itu dengan bapanya, namun membiarkan hak penjagaan berasingan dengan akaun pilihan pasukan peguam Britney.
Tambahnya, hak penjagaan aset penyanyi itu akan dijaga oleh seorang akauntan dilantik mahkamah buat sementara waktu.
Bagaimanapun, Jamie berpendapat bahawa akauntan tersebut, John Zabel, tidak mempunyai kelayakan untuk menjaga kekayaan penyanyi itu yang bernilai AS$59 juta (RM247 juta).
Namun, Brenda memutuskan hak penjagaan harta penyanyi itu diserahkan kepada Zabel dengan segera memandangkan ia adalah satu kepentingan terbaik buat Britney.
Pada masa sama, peguam Britney memohon perbicaraan baru diadakan dalam tempoh 30 hingga 45 hari lagi bagi memutuskan sama ada untuk mengakhiri semua hak penjagaan Jamie.
Kehidupan Britney yang bergelut dengan masalah kesihatan mental serta kes mahkamah mengundang perhatian masyarakat. Setakat ini, tiga dokumentari berkisahkan hidup penyanyi itu dilancarkan minggu lalu.
Sebelum perbicaraan bermula, peminat berkumpul di luar mahkamah dan menyanyi beramai-ramai lagu Baby One More Time.
Selain itu, peminat yang berada di Trafalgar Square, London juga mengadakan perhimpunan #FreeBritney yang menuntut hak kebebasannya dari segi undang-undang agar membebaskan penyanyi itu daripada kawalan bapanya.

