Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Finas pertimbang dana untuk anak Mamat Khalid arah filem epik
Diterbitkan:  Oct 25, 2021 9:27 PM
Dikemaskini: 1:27 PM

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan mengadakan perbincangan dengan ahli keluarga Allahyarham Mamat Khalid untuk menjalankan penggambaran filem epik bertajuk 'Pasir Salak Pasir Berdarah'.

Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berkata, skrip filem itu sudah siap sepenuhnya sejak 2017 namun belum menjalani penggambaran.

Dia menambah penggambaran filem epik itu memerlukan perbelanjaan kira-kira RM4 juta.

“Finas memberi pembiayaan kepada Allahyarham Mamat Khalid untuk menyiapkan satu skrip filem berunsurkan kenegaraan, semuanya sudah siap cuma filem itu belum sempat menjalani penggambaran sahaja lagi.

“Insya-Allah tahun depan sekiranya anak arwah Mohd Khaled Amen berani untuk meneruskan kerja-kerja penggambaran itu, kita boleh mempertimbangkan dana untuk membiayai filem tersebut, dan ia mungkin sebagai 'hadiah' kepada Allahyarham,” katanya seperti dilapor Bernama.

Zakaria berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham Mamat Khalid, Hasmah Hassan di kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 di Ipoh hari ini.

Sementara itu, Hasmah berkata dia sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada Finas kerana menyampaikan sumbangan, seterusnya menghargai pekerja seni seperti arwah suaminya.

“Sebenarnya ini merupakan sumbangan kali kedua, kali pertama semasa arwah terlantar sakit di hospital dua tahun lalu,” katanya.

Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, 58, meninggal dunia kira-kira pukul 12.30 tengah malam Sabtu, akibat serangan jantung.

Jenazah pengarah dan penerbit filem itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh di Ipoh petang semalam.

Sementara itu, Zakaria berkata Finas akan menjalinkan kerjasama dengan Wisma Putra untuk menayangkan filem berunsurkan kemasyarakatan dan kenegaraan di luar negara, yang dijangka akan dilaksanakan tahun depan.

Tambahnya, pihaknya akan menghantar filem-filem yang terpilih ke Kedutaan Malaysia terlebih dahulu, sebelum ditayangkan di mana-mana negara yang bersesuaian.

“Ini sebenarnya sesuatu yang agak ketinggalan kerana kita mempunyai ruang untuk mempromosi filem bukan hanya di festival sahaja, tetapi boleh mengunakan Kedutaan Malaysia menerusi Unit Budaya untuk ditayangkan di negara yang dikenal pasti.

“Kita juga belum menetapkan berapa jumlah filem yang akan ditayangkan di luar negara tetapi secara prinsipnya bekas Menteri Komunikasi Multimedia dan Komunikasi yang kini Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah, sudah bersetuju untuk membantu mempromosikan filem keluaran Malaysia di luar negara,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS