Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Kalau mereka suruh bercium macam mana?'
Diterbitkan:  Nov 24, 2021 6:42 PM
Dikemaskini: Nov 26, 2021 5:53 AM

Perbezaan budaya antara penyebab Tiara Jacquelina pernah terpaksa menolak tawaran keemasan untuk mengembangkan karier lakonannya di Hollywood.

Kata Tiara, dia seboleh-bolehnya enggan menyusahkan produksi sekiranya ada tawaran kerja yang diterima perlu ditolak ekoran babak-babak yang kurang sesuai dengan cara hidup orang Asia.

“Jika 10 atau 20 tahun lalu mungkin saya dah merasa berlakon filem Hollywood namun ia tak semudah yang disangkakan.

“Pada waktu tu terfikir kalau mereka suruh buat babak bercium macam mana?

“Takkan saya nak bagitahu tak boleh pula. Saya jenis ketinggalan zaman (old fashion). Mungkin tu jadi faktor penghalang tapi saya tak terkilan,” katanya.

Menurut Tiara, tawaran ke Hollywood tidak pernah putus bahkan peluang itu masih hadir hingga ke hari ini.

“Nak kata tawaran, memang sampai sekarang ada saja pihak atau agen yang mendekati dan meminta saya hadir untuk sesi uji bakat watak orang asia di Hollywood.

“Tahun ni ada, tahun lalu pun ada, filem yang baru keluar pun ada tapi tak perlulah saya dedahkan tajuk,” katanya.

Tiara berkata demikian sewaktu sesi IG Live melalui akaun Instagram Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) malam tadi.

Wawancara itu sebagai usaha menyemarakkan sambutan Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung 10 Disember ini.

Sesi bertajuk Aku Pelakon Terbaik itu dibawakan khas oleh Bahagian Latihan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Ia dikendalikan editor hiburan yang bertindak sebagai moderator iaitu Dean Musthafa dan Roslen Fadzil.

Selain Tiara, beberapa artis lain yang turut berkongsi kisah mereka ialah Fauziah Ahmad Daud, Maya Karin. Malam ini, Syamsul Yusof dan akan datang, Mawi, Yana Samsudin, pengarah serta penerbit filem seperti Ziela Jalil, Fadzil Teh dan A Aida.

Bermula 20 Nov lalu, sesi itu akan berlangsung hingga 29 November ini pada pukul 9 malam melalui Instagram Wartawan Hiburan.

Pelakon baru kena ada disiplin

Sementara itu, berkongsi mengenai kehadiran ramai bakat baru, Tiara berkata, seseorang pelakon wajar menitikberatkan disiplin masing-masing dan tidak berputus asa untuk belajar memperbaiki mutu lakonan mereka.

“Pelakon baru kena ada disiplin dan terus belajar tapi tak boleh cepat rasa bagus. Beratus-ratus lagi pelakon kat luar sana. Sekarang ni zaman media sosial, dah ramai pelakon cuma beza pada kualiti saja.

“Kalau pelakon tu bagus, mereka akan ada seri, orang pandang bukan sebab lawa tapi kerana kerja keras dan dedikasi yang dipamerkan.

“Setakat ni saya belum terjumpa lagi pelakon yang sewaktu uji bakat mereka dah tahu proses pembikinan sesebuah cerita atau filem… masa uji bakat teater Puteri Gunung Ledang misalnya, bila diberitahu pelakon kena luangkan masa beberapa bulan, mereka terkejut,” katanya.

Menurut pelakon Ringgit Kassorga itu, dia sanggup mengorbankan kehidupan masa mudanya demi menjaga nama baik sebagai seorang anak seni.

“Jika nak kejar glamor, jadi pempengaruh sajalah. Tapi kalau nak jadi pelakon, kenalah serius lalui perit berkorban media sosial.

“Saya sendiri tak ada kehidupan sosial, pernah muda tengok orang pergi kelab, keluar setiap malam tapi saya kena disiplinkan diri daripada melakukan hal itu.

“Sebab saya tak mahu terpalit kontroversi, kena jaga imej biar bersih,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS