Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Semua sedia maklum bahawa Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) dan Forum Air Malaysia telah menyiapkan satu laporan kajian mengenai pengekstrakan air bawah tanah.

Maklumat yang digunapakai itu daripada agensi-agensi antarabangsa yang bertauliah. Pihak kami juga menyampaikan maklumat ini kepada semua ahli parlimen, semua menteri besar dan ketua menteri, ketua-ketua agensi kerajaan, exco-exco kerajaan negeri dan juga syarikat-syarikat bekalan air.

Pihak kami agak terkilan dengan keputusan kerajaan untuk membenarkan Sime Darby melakukan kerja-kerja cari gali untuk menyediakan bekalan air daripada sumber air bawah tanah di Pulau Labuan walaupun teknologi lain wujud untuk tujuan kecemasan.

Apakah kos cari gali ini? Adakah ia boleh diumumkan kepada rakyat?

Menurut kajian, bagi setiap 1 kaki penururan aras air tawar akan menyebabkan peningkatan 40 kaki air masin. Keadaan ini akan menyebabkan kon pemesongan atau cone of depression - inilah kaedah percampuran air laut kepada air tawar.

Satu laporan di Pulau Lopez, Amerika Syarikat, menunjukkan kemasukkan air laut hampir 46 peratus bagi 185 sampel air tawar. Saiz pulau ini 76.4 km persegi dan saiz Labuan secara keseluruhan 75 km persegi.

Sebenarnya, pelan pengurusan permintaan air patut dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah kekurangan air di Labuan. Kita dapat lihat bahawa Labuan mempunyai air tanpa pendapatan (non-revenue water atau NRW) sebanyak 33.1 peratus berbanding Pulau Pinang sebanyak 16.9 peratus (tahun 2008).

Jika Labuan dapat mengurangkan nilai NRW hampir separuh berbanding dengan nilai sekarang, ia sememangnya dapat memenuhi permintaan air.

Pengurusan permintaan air merupakan penyelesaian jangka panjang dan ia merupakan langkah penting untuk Malaysia mencapai status negara maju.

Pihak kami juga telah memeriksa dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). SPAN merupakan agensi pelesenan untuk perawatan dan bekalan air kepada pengguna.

Bagaimanapun, kami telah dimaklumkan bahawa SPAN tidak menerima sebarang permohonan untuk pelesenan daripada Sime Darby.

Bahagian II Peruntukan Pelesenan, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dengan jelasnya menyatakan keperluan mendapatkan lesen untuk beroperasi.

WECAM mengalu-alukan keputusan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk mewujudkan garis panduan yang ketat dalam penggunaan air bwah tanah seperti yang diamalkan di negara-negara contoh yang diberikan oleh Sime Darby.

Perbincangan pihak kami dengan Sime Darby baru-baru ini hanya menyimpulkan bahawa mereka masih di peringkat awal kajian projek dan tidak sepatutnya diberikan kelulusan. Pakar mereka sendiri menyokong kerisauan kami semasa berhujah mempertahankan projek ini.

Satu contoh ringkas, cuaca di kesemua negara contoh yang digunakan oleh Sime Darby jauh berbeza daripada iklim tropika (seperti Malaysia). Ini akan menyebabkan kadar aliran masuk yang berbeza.

Apabila kita merujuk Semarang dan Jakarta di Indonesia serta Bangkok, Thailand yang merupakan negara yang mempunyai iklim yang sama dengan Malaysia, kita dapat melihat kesan pengekstrakan air bawah tanah.

Kelulusan yang diberikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk pengekstrakan 500 juta liter sehari bagi keseluruhan mukim Batang Padang, Perak tetapi proses pengekstrakan di satu lokasi sahaja. Sememangnya air bawah tanah dari seluruh daerah itu tidak mengalir ke Slim River sahaja.

Semasa perbincangan kami dengan Sime Darby, mereka memberitahu bahawa mereka masih dalam proses mengumpul data untuk menjalankan model simulasi. Model simulasi langkah pertama dan bukannya sesuatu yang dilakukan selepas kelulusan.

WECAM bersama FOMCA dan Forum Air Malaysia, kami memberikan pandangan yang bebas. Kini terpulang kepada kerajaan untuk membuat sebarang keputusan dan juga mengambil tanggungjawab bersama-sama dengan Sime Darby dalam projek ini serta dampaknya terhadap alam sekitar.

Piarapakaran Subramaniam setiausaha agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS