Saya rujuk laporan berhubung Gerakan-Umno berebut jawatan pengerusi BN ( Malaysiakini , 21 Disember).

Memang betul apa yang dikatakan, Gerakan Pulau Pinang tidak menjalankan kerjanya dan memang malas atau tiada usaha ingin memajukan BN Pulau Pinang.

Mana Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berada di Pulau Pinang? Apa aktiviti yang beliau lakukan untuk BN Pulau Pinang?

Sebaliknya, mereka hanya tahu mengeluarkan kenyataan yang hanya memalukan BN, seperti mengkritik isu Datuk Ahmad Ismail, yang sudah menjalankan hukuman setimpal. Apa lagi yang Gerakan mahu?

Lebih mengecewakan, Pemuda Gerakan Pulau Pinang langsung tidak sepakat dengan mana-mana komponen BN.

Mereka hanya tahu mengeluarkan kenyataan tidak berakal dan tidak bertanggungjawab, contohnya menuduh penghuni Kg Buah Pala membakar gambar Lim Guan Eng.

Oleh itu, Gerakan harus bersikap terbuka dan menerima hakikat. Mereka telah gagal untuk menjalankan tugas yang diamanahkan oleh pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak.