Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas pasca pilihan raya umum ke-13 baru-baru ini tidak kurang hebatnya juga ungkapan-ungkapan yang boleh diklasifikasikan lawak atau jenaka yang kasar.

Ia bermula dengan reaksi spontan perdana menteri pilihan BN yang akhirnya menjadi tajuk utama akhbar 'cauvinis' Melayu negara Utusan Malaysia iaitu "Apa Lagi Cina Mahu?".

Memang kasar bunyinya anggaplah saja jenaka orang yang takut hilang kuasa.

Ramai yang mencemuh dengan ungkapan tersebut kerana beliau mungkin 'buta' kerana keputusan rakyat dalam pilihan raya bukan kerana sentimen cina undi cina tetapi sebenarnya rakyat telah sepakat menolak mereka yang memimpin negara, seperti simpulan bahasa "beraja di mata, bersultan di hati".

Ini disebabkan apa yang berlaku pada penggal lalu satu barisan yang melakukan sesuka hati seolah-olah konsep pemisahan kuasa (raja, eksekutif dan kehakiman) telah menjadi tiga dalam satu.

Lawak kasar seterusnya secara spontan keluar dari mulut seorang negarawan yang berjaya dengan kempennya yang berjaya merampas sebuah negeri dengan mengetengahkan anak sendiri sebagai calon MB.

Ia lebih kurang berbunyi: "Jika PM sebelum ini disingkirkan kerana hilang banyak kerusi, maka PM hari ini rekodnya adalah lebih teruk lagi:.

Amat berbisa sekali kata-katanya sehinggakan dirasakan agak ngeri untuk didengari oleh PM hari ini.

Ungkapan jenaka ngeri berikutnya telah dikeluarkan oleh seorang MB yang berkata secara tidak berperi apabila berkata "tiada lagi projek pembangunan di kawasan-kawasan yang tidak diwakili oleh ahli dewan dari partinya".

Kenyataan ini membuatkan ramai yang tercengang dan tak kering gusi. Beliau lupa maksud dan makna sebuah sistem demokrasi agaknya kerana dapat perintah negeri dengan kelebihan dua kerusi.

Seterusnya kedengaran banyak suara-suara sumbang dari yang boleh dianggap 'ultra-Melayu' dengan sentimen kebencian kaum cina dan juga dibabitkan juga kaum India seperti idea mahu menghapuskan sekolah vernakular.

Rupa-rupanya bila habis pilihanraya ramai diserang penyakit gila atau alergi bangsa menyebabkan mereka jadi buta dengan negara yang dinamakan Malaysia.

Di satu seminar pasca-pilihan raya pula ada seorang yang pernah bergelar "yang arif lagi bijaksana" menyuarakan pendapatnya yang bersifat anti-Cina atau kata-kata yang sungguh beremosi seolah-olah negara ini baru saja merdeka dan mahu membela satu bangsa dengan bersifat anti bangsa

lain.

Mungkin kerana sudah bersara faktor usia menyebabkan beliau mudah lupa ini negara yang dulunya dikenali sebagai Malaya kemudiannya Malaysia. Telah dinafikan keesokan harinya namun lawak pertamalah buat orang tertawa bukan kedua.

Apabila PM hari ini mengumumkan kabinetnya, maka dengan rasminya kerajaan yang mendapat banyak kerusi (bukan banyak undi) telah mula bekerja secara rasminya selepas bersumpah setia di hadapan YDP Agung.

Satu lagi lawak kasar dan ngeri keluar dari mulut seorang menteri yang berbunyi "jika tidak setuju dengan sistem demokrasi negara ini sila tinggalkan negara ini".

Berdesing telinga rakyat sekali lagi dengan lawak ngeri yang secara langsung menunjukkan kawalan ke atas emosi dari keputusan pengundi tempoh hari masih belum hilang lagi.

Apa salahnya rakyat berhimpun aman tanpa mengganggu ketenteraman bagi memprotes atau menunjukkan ketidakpuasan daripada terus bersuara berdentum membuat kenyataan lawak slapstik menyalahkan sesuatu bangsa pasca pilihan raya kali ini.

Natijahnya, rakyat Malaysia lebih matang dan memahami segala situasi lebih dari mereka yang bertahun-tahun bergelar menteri dalam memahami erti sebuah proses demokrasi dengan secara tidak langsung terbukti bahawa parti yang berasaskan perjuangan bangsa telah tidak relevan lagi.

Dunia hari ini telah bergerak seiring dengan arus teknologi maklumat dan komunikasi tanpa sempadan menyebabkan lonjakan ( s pring ) dari rakyat menagih harapan agar parti yang bersaing melalui ideologi dan idea bukan lagi soal pembangunan semata-mata malah lebih kepada keseluruhan aspek kehidupan merangkumi kesejahteraan dan kebajikan.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini .

ADS