Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) rasa terpanggil untuk turut sama membahaskan polemik SK Seri Pristana yang kini semakin mendapat perhatian umum.

Pertamanya, Gaps mengecam Timbalan Menteri Pelajaran yang baru, P Kamalanathan, yang membuat kenyataan awal tanpa merujuk fakta sebenar. Beliau sepatutnya merujuk perkara ini kepada pengarah pelajaran negeri atau pegawai pendidikan daerah untuk mendapat fakta sahih dan benar sebelum membuat kenyataan. Mengambil fakta dari Facebook atau media maya tanpa menyiasat kebenarannya merupakan satu tindakan yang patut tidak dilakukan oleh seorang timbalan menteri.

Di akhir-akhir ini ramai yang terperangkap dengan terma hak asasi dan kebebasan. Namun, Gaps berpandangan hak dan kebebasan  bukanlah hak mutlak individu. Kebebasan dibatasi dengan peraturan dan undang-undang. Kebebasan juga datang dengan tanggungjawab. Kebebasan juga bukan milik individu semata-mata. Sebaliknya kebebasan juga milik orang ramai. Pentadbir sekolah juga berhak ke atas kebebasan. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Seri Pristana yang dipilih dalam mesyuarat agung tahunan ibu-bapa dan guru juga berhak menuntut kebebasan.

Kepada bekas menteri Datuk Seri Chua Sooi Lek, Gaps menyarankan beliau membuka kelas tuisyen untuk menyekolahkan segelintir ibu-bapa yang cuba memperjuangkan hak asasi anaknya di sekolah tanpa mengerti orang lain pun ada hak juga.

Kepada Timbalan Pengerusi DAP, M Kula Segaran yang cuba memahat sentimen perkauman dengan mengecam guru besar tersebut, Gaps rasa kecaman itu umpama orang yang hilang akal. Sesungguhnya pentadbir itu cuma mempertahankan hak sekolah untuk bercakap benar terhadap isu yang berlaku. Bukankah yang wajib diperjuangkan adalah kebenaran dan bukan gosip atau sensasi?

Gaps berpandangan alangkah lebih baik jika ibu yang merasa sangsi terhadap tempat makan anaknya dalam kes ini merujuk terus ke pihak pentadbiran sekolah untuk penjelasan. Itu adalah tanggungjawab ibu bapa yang prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh pihak sekolah. Yang jelasnya tempat makan di bilik persalinan itu diputuskan oleh PIBG dan pihak pentadbir sekolah cuma melaksanakan cadangan yang diputuskan PIBG dalam perkara ini. Apa salahnya makan di bilik persalinan asalkan ia bersih dan terurus dalam keadaan kantin sekolah sedang diperbaiki? Bilik persalinan bukanlah tandas. Makan di bilik persalinan lebih baik daripada makan di tepi longkang.

Akhirnya, Gaps menyeru semua pihak yang terlibat dalam kemelut persekolahan anak-anak untuk menghormati institusi sekolah dan jangan libatkan sekolah dalam hal-hal fitnah sehingga menimbulkan keresahan dan ketidaktenteraman ibu-bapa yang lain. Gaps menolak sebarang kacau ganggu asing dalam pembinaan generasi cemerlang anak-anak kita di sekolah.


Hamidzun Khairuddin adalah Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps).

ADS