Kumpulan Lamb of God, sebuah kumpulan muzik metal bakal mengadakan konsert mereka di Kuala Lumpur pada 28 September 2013. Apa yang menjadi masalah, satu rakaman konsert mereka  didapati menonjolkan bacaan ayat suci al-Quran.

Ini boleh dilihat melalui rakaman berkenaan yang dimuatkan di Youtube.

Ini sekali gus menyentuh sensitiviti umat Islam kerana ayat suci al-Quran adalah kalamullah yang perlu dihormati dan tidak sewajarnya ia diperlekehkan sebegitu dan dimainkan bacaannya pada keadaan konsert sebegitu.

Mungkin ada peminat kumpulan ini yang berpendapat Lamb of God tidak bermaksud menghina Islam melalui tindakan tersebut, namun hujah ini patut ditolak. Meskipun tidak berniat, band ini sepatutnya sedar bahawa apa yang ia lakukan ini adalah seperti memperlekehkan ayat suci al-Quran yang menjadi panduan serta pegangan umat Islam.

Di dalam aqidah Islam, penghinaan terhadap Islam, termasuklah menghina Allah, Rasul-Nya, Kitab-Nya atau hukum-hakam syarak yang sudah termaktub di dalam al-Quran dan al-Hadis boleh menyebabkan seseorang itu terbatal keislamannya.

Oleh itu perbuatan sebegini yang menghampiri zon yang boleh merosakkan aqidah bukanlah satu perkara main-main, bahkan perlu diambil serius oleh umat Islam.

Akhir kata saya menyeru agar konsert ini dapat dihentikan. Band sebegini tidak wajar dibenarkan untuk membuat persembahan di negara ini. Ia juga tidak memberi manfaat bahkan lebih membawa kemudaratan buat generasi masyarakat di negara ini.

AFIQME MOHAMAD adalah seorang pelajar di peringkat ijazah di Al-Madinah International University di Shah Alam.