Sembilan kumpulan aktivis di Kelantan meluahkan perasaan terkilan dengan perkembangan muktamar PAS yang akan diadakan hujung tahun ini.

Ini kerana perjalanan ke arah muktamar tidak diisikan dengan dasar dan isu kepentingan rakyat. Sebaliknya PAS menghidangkan pertembungan kasta dan label-melabel di antara satu sama lain.

Sesuai dengan slogan PAS untuk Semua, Gabungan Aktivis Kelantan mendesak tiga perkara. Pertama, perkembangan muktamar dijadikan medan perbahasan oleh PAS terhadap tujuh agenda :

i. Royalti petroleum negeri-negeri pengeluar minyak.

ii. Dasar tenaga negara (petrol, diesel dan elektrik)

iii. Dasar buruh negara (gaji, kebajikan dan pekerja asing)

iv. TPPA dan ekonomi Islam

v. Dasar pendidikan negara (modal insan, aliran pondok, silibus sejarah, pendidikan percuma dan IPT)

vi. Dasar keperluan asas negara (monopoli, rizab makanan dan rizab bahan api)

vii. Dasar utamakan fokus parti terhadap rakyat sendiri berbanding rakyat luar

Kedua, gabungan aktivis mendesak pimpinan yang menerima pencalonan membentangkan hala tuju masing-masing terhadap tujuh agenda tersebut. Gabungan aktivis bersedia menjadi penganjur.

Ketiga, gabungan aktivis mendesak pimpinan yang menerima pencalonan mengisytihar harta masing-masing.


Gabungan Aktivis Kelantan dianggotai oleh Aktivis Kelantan (AK03), Anak Muda Boleh (aMBo), Permuafakatan Pekerja Muda Kelantan, Pelajar Pondok Kandis, Kumpulan Perikanan Pasir Puteh,

Persatuan Peladang Gua Musang, Peniaga Kelantan Bersatu dan SAMM Kelantan.