TPPA: BANTAH bukan sekadar membantah
BANTAH TPPA menyedari terdapat beberapa kesalahan dan kenyataan bercanggah mengenai organisasi BANTAH dan memutuskan untuk mengeluarkan video Youtube untuk memperjelaskan objektif, aktiviti-aktiviti dan keanggotaan BANTAH. Pautannya di sini .
BANTAH TPPA lahir dari kesedaran pihak-pihak individu dan NGO yang celik pada bahaya dan ancaman TPPA diusulkan BLINDSPOT, MTEM dan Jawatankuasa Anti FTA pada Jun 2013.
BANTAH sekarang merupakan gabungan anti-TPPA terbesar negara dianggotai dengan utuh oleh 60 NGO dan 9 majlis gabungan terdiri daripada MAC, MCTC, MTUC, MPM yang setiap satu diwakili lebih dari 50 NGO masing-masing.
BANTAH juga di anggotai anak-anak muda SAMM, SMM dan juga PKPIM, gerakan Islam IKRAM, MAPIM dan ABIM serta beberapa dewan perniagaan Melayu dan cina.
Gerakan menentang TPPA bukanlah sesuatu yang baru tetapi telah bermula semenjak awal tahun lepas . Bantah adalah gabungan bukan partisan yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik, perniagaan dan tidak mewakili mana-mana bangsa atau pihak tertentu.
BANTAH ditubuhkan di atas kebimbangan serius dan objektif melihat bahayanya perjanjian TPPA yang bakal ditandatangani oleh pihak kerajaan.
BANTAH menolak TPPA. Walaupun begitu Bantah telah menyerahkan 75 garis merah (iaitu perkara-perkara yang memudaratkan negara) kepada perdana menteri jika kerajaan tetap mahu menandatangani TPPA, di mana kerajaan digesa untuk tidak berganjak dan berkompromi dengan senarai garis merah itu.
Walaupun konotasi nama BANTAH itu sendiri mungkin berbunyi negatif, tetapi BANTAH bukan hanya membantah tetapi menawarkan penyelesaian dan alternatif untuk memastikan kepentingan Malaysia terpelihara.
Bantah terdiri daripada ahli akademik, pakar perdagangan, perundangan, kesihatan, alam sekitar, paten, mahasiswa dan profesional dari semua segmen lapisan industri dan masyarakat.
Semua cadangan dan pandangan BANTAH adalah berdasarkan rujukan pada pakar-pakar tersebut yang membentuk jawatankuasa BANTAH.
BANTAH juga telah bertemu dan akan terus bertemu dengan semua pihak dari semua lapisan masyarakat daripada nelayan, petani, peladang, golongan profesional, semua parti politik, agensi kerajaan, kementerian-kementerian kerajaan, menteri-menteri kerajaan dan juga Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri.
Bantah juga mengalu-alukan parti-parti politik dari kedua belah pihak untuk turut mengemukakan bantahan mereka bersama kami. Isu TPPA ini merentasi sempadan politik dan kepartian.
Bantah akan terus mengadakan forum serta roadshow untuk kesedaran umum kepada rakyat.
Bantah menyeru semua rakyat Malaysia bangun, bangkit dan ambil peduli mengenai perundingan TPPA yang akan menentukan nasib bangsa dan negara serta keturunan kita semua.

