Pada Isnin 27 Januari 2014 dunia dikejutkan dengan pemergian seorang tokoh ulama, tokoh gerakan Islam dan pemikir Islam yang agung, Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan ke rahmatullah. Beliau juga merupakan bekas penasihat umum bagi gerakan Ikhwan Muslimin di Iraq.

Jenazahnya dikebumikan di San'a, Yaman, bumi yang terakhir menjadi tempat beliau bernaung selepas terpaksa keluar meninggalkan bumi kelahiran beliau iaitu Iraq.

Dewan Ulama PAS Pusat mengucapkan takziah atas pemergian beliau kepada seluruh umat Islam, khususnya keluarga almarhum, anak murid beliau dan warga Univesiti Iman, San'a bawah naungan Syeikh Abdul Majid Zandani yang menjadi pusat ilmu di mana beliau menjadi salah seorang mahagurunya.

Pemergian tokoh ulamak Islam ini merupakan kehilangan besar bagi umat.

Dr Abdul Karim dilahirkan di Baghdad pada tahun 1921. Berkelulusan ijazah pertama dari Fakulti Undang-undang Universiti Baghdad, Master dan PhD pengajian Islam di Universiti Kaherah pada  1962.

Beliau merupakan bekas mursyidul am Iraq mengasaskan fakulti pengajian Islam di hujung 60-an dan berjaya melahirkan graduan namun kemudiannya ditutup oleh Parti Sosialis Iraq dan beliau sendiri dikenakan seumpama tahanan rumah.

Beliau terus ditekan sebagai seorang tokoh ulama sehingga akhirnya terpaksa berhijrah meninggalkan Iraq pada awal 90-an.

Beliau pernah menjawat jawatan profesor undang-undang Islam dan ketua jabatan syariah, fakulti undang-undang, Universiti Baghdad dan dekan fakulti syariah, Universiti Baghdad.

Antara karya beliau yang terkenal ialah ensiklopedia Hukum-hakam berkaitan Wanita dan Keluarga Muslim sebanyak 11 juzuk yang mendapat Anugerah Antarabangsa Raja Malik Faisal pada 1997M/1417 H.

Antara tulisan beliau yang terkenal dan menjadi rujukan di banyak fakulti pengajian Islam di seluruh dunia ialah Hukum-hakam Zimmi dan Musta'min dalam Negara Islam, Pengenalan Pengajian Syariah Islam, Usul Dakwah, Al-Wajiz: Syarah Qawaid Fiqhiyyah dan Sistem Kehakiman dalam Islam

Moga Allah merahmati roh beliau dan memberikan ganjaran terbaik untuknya di alam barzakh dan di hari khirat. Moga kita juga berjaya mengikut jejak langkah beliau sebagai orang berilmu dan beramal dengan ilmunya.


DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI adalah ketua penerangan Dewan Ulama PAS Pusat dan MP Kuala Nerus