Penjelasan PRM mengenai BA, negara Islam
Nampaknya isu Negara Islam dan Hudud berhubung dengan apa yang saya sentuh dalam ucapan dasar di Kongres PRM ke-36 telah menimbulkan sedikit kekeliruan. Ini adalah akibat laporan yang kurang tepat atau tajuk berita yang memesongkan oleh beberapa akhbar.
Misalnya, Utusan Malaysia melaporkan PRM "tidak mahu PAS meneruskan hasrat melaksanakan pemerintahan sebagai dasar parti itu". Manakala New Straits Times pula membuat tajuk berita " Keadilan, PRM may leave front " (Keadilan, PRM mungkin tinggalkan fron), dan memberitakan " PRM may abandon PAS is favour of new opposition allies " (PRM mungkin meninggalkan PAS dan memilih sahabat pembangkang baru).
Perkara-perkara yang diterbitkan oleh akhbar-akhbar ini, seperti tersebut di atas mengelirukan . Ia telah menimbulkan lebih banyak panas dari terang. Oleh itu, izinkanlah saya memberikan penjelasan.
Pertama, PRM tidak pernah mendesak supaya PAS membuang atau meninggalkan dasar mengenai Negara Islam. Bahkan PRM sudah beberapa kali menegaskan bahawa PAS, dan mana-mana parti, berhak mempunyai dasar atau matlamat jangka panjang sendiri.
PRM menghormati hak PAS berpegang kepada dasar atau matlamat ini. Beserta Dr Wan Azizah Ismail, Presiden Keadilan, kami telah mengeluarkan dua kenyataan bersama menegaskan perkara tersebut. Sehubungan ini baiklah diingatkan bahawa Perlembagaan PAS tidak mencatatkan tujuan untuk menegakkan 'Negara Islam'.
Dalam ucapan dasar, saya telah menyebut semula (saya petik): "Kita menghormati hak PAS, sesuai dengan amalan demokrasi, untuk memperjuangkan matlamat dasar mereka dalam hal ini. Kita mengetahui juga bahawa PAS dapat menambah sokongan kepadanya, terutama di negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu, dengan menimbulkan isu ini.
"Akan tetapi, PAS perlu memikirkan bukan semata-mata keuntungan untuk partinya saja. PAS harus menyedari bahawa apabila isu tersebut berterusan disuarkan dalam keadaan sekarang ini, ia boleh menimbulkan kesulitan kepada parti-parti sahabat PAS dalam BA. Lebih penting lagi ia boleh menjejakan prestasi BA secara keseluruhan dalam pilihanraya."
Kedua, saya selaku presiden atau PRM sebagai parti tidak pernah menyarankan atau membuat keputusan hendak meninggalkan (' abandon ') BA. Kami hanya ingin PAS memikirkan akibat terlalu sering menimbulkan isu Negara Islam dan Hudud daripada isu-isu lain yang dianggap penting dan relevan dalam keadaan sekarang, seperti menegakkan keadilan dari segi ekonomi, politik serta sosial dan menentang kezaliman, korupsi, pilih kasih, pembaziran, keruntuhan moral dan peningkatan jenayah.
Saya menyebut dalam ucapan dasar: "Isu Negara Islam dan Hukum Hudud yang dibawa oleh PAS memberikan peluang kepada Umno-BN menggunakannya sebagai senjata bagi memburukkan PAS serta melemahkan BA, dan sebagai alat untuk mendapatkan sokongan dari masyarakat bukan Islam serta golongan Melayu Islam yang menganggap diri mereka sebagai moderat atau sekular."
Bagi menghadapi pilihanraya akan datang secara lebih berkesan PAS perlu memikirkan strategi untuk menentukan apakah isu yang perlu diutamakan buat masa sekarang dan apakah isu yang paut dikemudiankan.
Kami berpendapat bahawa sekiranya PAS menggesa supaya Hukum Hudud, misalnya, dilaksanakan pula di negeri-negeri lain, seperti Kedah dan Pahang, selain dari Kedah dan Terengganu sekarang, ia akan memberi mesej yang membimbangkan ramai orang pada peringkat Pusat.
Oleh itu, walau apapun jaminan yang diberikan oleh PAS bahawa hukum itu akan dilaksanakan hanya terhadap orang Islam, ia masih tidak akan meyakinkan orang bukan Islam, bahkan menambah lagi rasa curiga mereka terhadap PAS, dan secara langsung terhadap BA juga.
Ini akan menimbulkan masalah kepada PRM dan Keadilan, terutama sekali apabila PAS mengumumkan pendirian mereka tanpa rundingan sehingga parti-parti sahabatnya kelihatan sebagai "Pak Turut" saja.
Pemimpin-pemimpin BA sudah berkali-kali membincangkan soal strategi ini dalam Majlis Pimpinan, yang melibatkan pemimpin tertinggi PAS, Keadilan dan PRM. Kami harap penyelesaian yang memuaskan semua pihak dan boleh diterima oleh semua golongan masyarakat dapat dicapai, untuk menguatkan semula kedudukan BA.
Akan tetapi, seperti yang saya ucapkan dalam Kongres: "Seandainya kata muafakat gagal dicapai kerana PAS tidak mungkin mengubah pendirian, berundur selangkah untuk mara dua langkah, maka sudah pasti BA tidak berkemungkinan kekal dalam bentuknya yang ada sekarang ini. Bentuk kerjasama ini perlu diubah."
Seterusnya, dalam ucapan dasar yang sama saya menekankan: "Salah satu caranya ialah dengan mengadakan pakatan yang lebih longgar, tetapi berteraskan perjanjian bertulis atas perkara-perkara yang boleh disetujui bersama, semata-mata untuk menghadapi pilihanraya, seboleh-bolehnya dengan pertandingan satu lawan satu. Berhubung isu yang mereka berbeza pendapat, masing-masing boleh membuat pendirian sendiri".
Kami berpendapat bahawa di antara parti-parti pembangkang, wujud lebih banyak persamaan daripada perbezaan sikap terhadp banyak isu penting yang melibatkan negara dan rakyat.
Oleh itu perjanjian bertulis (yang boleh juga berbentuk manifesto) mungkin dibuat sebagai asas untuk menarik lebih banyak lagi parti dan juga pertubuhan bukan pemerintah (NGO) dan individu.
Sudah tentulah perjanjian (atau manifeso) ini tidak meliputi isu menegakkan Negara Islam dan melaksanakan Hukum Hudud.
Semua parti yang bersetuju dengan perjanjian ini boleh menyertai pakatan tersebut. Sekiranya ada parti yang tidak menyetujuinya, mereka bolehlah mengasingkan diri.
Sekiranya PAS boleh menerima perjanjian ini sudah pasti ia akan mengukuhkan lagi kedudukan BA, dan membolehkannya mengadakan pakatan lebih luas dengan parti-parti, NGO dan individu lain.
Kalau tidak, pakatan yang baru ini perlu difikirkan bersama dan dilaksanakan. Terserah kepada PAS atau parti lain untuk menentukan sama ada mereka hendak menyertainya atau tidak.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.