Antara agenda utama yang dibangkitkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) baru-baru ini ialah seruan supaya isu pendidikan tidak mempolitikkan untuk memelihara masa depan generasi muda.

Jelas di sini perdana menteri dapat melihat generasi muda adalah kayu ukur utama dalam usaha meniti kecemerlangan umat masa depan. Secara peribadi, saya merasa gembira apabila mendengar ungkapan ini lahir dari pemimpin kerajaan kita. Tambahan pula, isu pendidikan dan pengisian generasi muda ini datangnya daripada orang nombor satu negara.

Sebagai pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK ), beliau telah mengguna mesyuarat Dewan Tertinggi BN sebagai saluran yang tepat bagi membincang permasalahan dunia pendidikan serta dilema pelajar. Sebagai pelajar, saya rasa terpanggil untuk memberi sedikit reaksi terhadap hal ini.

Tesis pertama daripada kaum intelektual menyatakan betapa dasar yang berubah-ubah dalam dimensi pendidikan kita menyebabkan kaum pelajar terumbang-ambing. Ini dijelaskan oleh beberapa cendekia sebelum ini.

Tesis kedua pula lahir daripada penggubal dasar pendidikan yang menyeru agar dasar yang ada dikekalkan dengan penguatkuasaan serta pelaksanaannya dikukuhkan lagi. Maka, selepas ini dapat diusahakan kelahiran tesis ketiga: kaum pelajar yang merupakan 'anak gahara' kepada peradaban pasca-moden.

Apa yang ingin penulis bangkitkan di sini ialah selama ini jarang dan sedikit sahaja peranan masyarakat pelajar digunakan bagi membina landasan dan haluan pendidikan negara secara aktif. Bukannya tidak ada langsung, tetapi kurangnya wadah yang menggabungkan tenaga asli pemikiran pelajar ke arah isu-isu pendidikan.

Ini menyebabkan masalah dan dilema pelajar tidak dapat digarap seutuhnya untuk diambil tindakan. Hanya pelajar sahaja yang mengetahui apakah realitas kehidupan mereka yang sebenar. Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar perkara-perkara dibahaskan.

Pertama, MPPK mestilah bersidang semula untuk menyatakan kesepakatan dalam usul penubuhan Parlimen Mahasiswa sepertimana yang telah dipersetujui dalam Kongres Mahasiswa Nasional April 2003 lalu di USM.

Kedua, perdana menteri mengemukakan cadangan dan usul bagi menggubal suatu draf undang-undang yang bertajuk 'Akta Parlimen Mahasiswa' di Dewan Rakyat. Hal ini sangatlah penting bagi menggariskan panduan kepada perjalanan perbahasan oleh para mahasiswa dalam setiap sidang yang dijadualkan nanti.

Ketiga, gelaran 'Yang Berhormat' perlu diganti kepada 'Yang Berkhidmat' untuk para perwakilan siswa yang berjaya mendapat kerusi di Parlimen Mahasiswa, agar perbezaan konsep kepimpinan sebagai 'amanah dan tanggungjawab' dikekalkan, bukannya'populariti dan glamour'.

Keempat, saluran NTV7 dan lain-lain badan penyiaran memaparkan perbahasan ini secara lintas langsung. Dengan cara ini, khalayak dapat melihat realiti sebenar aktiviti kemahasiswaan.

Pengamal media hari ini bersikap tidak adil kepada generasi muda dan mahasiswa apabila menayangkan gejala sosial terlalu banyak (contoh 'Seks Tepi Tangga', program Edisi Siasat, NTV7 ) sedangkan aktiviti yang sihat di kalangan pelajar tidak dipaparkan kepada khalayak.

Langkah RTM memperkenalkan Bicara Siswa patut dipuji, berbanding Akademi Fantasia oleh Astro. Kementerian Tenaga, Komunikasi, dan Multimedia patut haramkan Akademi Fantasia dari ditayangkan atau permit penyiaran Astro Ria ditarik balik.

Kelima, Kementerian Pendidikan mengelola suatu badan bagi memilih mahasiswa yang layak menjadi ahli Parlimen Mahasiswa, kerana tidak semua ahli MPP layak menganggotai parlimen tersebut.

Akhir kata, saya rasakan belum terlambat untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada perdana menteri barau yang secara rasmi memulakan tugasnya pada 3 November lalu di Putrajaya.

Semoga beliau diberikan petunjuk dalam mendepani cabaran terbarunya sebagai perdana menteri Malaysia kelima, sekaligus menggarap dilema generasi muda, kaum pelajar, dan mahasiswa negara dengan baik, bijaksana, dan seadilnya.