Sepanjang dua hari lepas heboh diperkatakan mengenai kontroversi kemungkinan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat meletakkan jawatan . Ini berikutan laporan spekulasi di beberapa buah media termasuk seperti The Sun, Utusan Malaysia dan malaysiakini .
Berita spekulasi ini segera dinafikan oleh tokoh-tokoh kerajaan negeri Kelantan dan PAS. Termasuklah Dewan Pemuda PAS Kelantan yang telah memberikan reaksi terhadap perkembangan ini.
Cuma saya merasakan reaksi yang diberikan oleh Dewan Pemuda tersebut amat tidak bersesuaian dengan semangat reformasi, pembaharuan dan islah yang selama ini didokong bersama oleh Barisan Alternatif.
Dilaporkan oleh beberapa media, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Zulkafli Yacob berkata, beliau telah mengarahkan pihak peguam supaya mengkaji secara terperinci laporan media tersebut untuk diambil tindakan undang-undang.
Saya sama sekali tidak mempertahankan berita berbentuk spekulasi yang memburukkan imej. Media sendiri perlu sedar dan merasa malu jika penerbitan berita spekulasi itu didalangi dan diperalat oleh pihak berkepentingan politik tertentu.
Tetapi saya menegaskan tindakan menyaman atau mengheret media ke mahkamah buat masa ini kelihatan seperti merencatkan perjuangan ke arah media yang bebas yang dilaungkan selama ini.
Dewan Pemuda PAS Kelantan perlu lebih prihatin dan berhadapan dengan isu ini secara politik dan lebih bijaksana. Mengulas mengenai tindakan Pemuda PAS berikrar dan mempertahankan Tuan Guru Nik Aziz untuk memerintah seumur hidup amat tidak sihat.
Berdasarkan manisfesto BA yang telah dipersetujui oleh gabungan BA, PAS dan Keadilan dalam artikel 'Kerajaan anda kami rakyatkan', ada menyatakan bahawa BA akan mempraktikkan had masa tempoh memegang jawatan utama kerajaan seperti perdana menteri kepada dua penggal sahaja.
Saya tidak menafikan kemungkinan Nik Aziz berjaya memimpin negeri Kelantan dan masih diperlukan lagi tetapi dengan ikrar akan mempertahankan seseorang tokoh memegang sesuatu jawatan seumur hidup, ini akan memberikan imej atau isyarat yang negatif kepada rakyat.
Pertama, rakyat akan beranggapan bahawa BA tidak mempunyai barisan pimpinan pelapis berwibawa sehingga terpaksa mempertahankan seorang tokoh untuk memerintah seumur hidup.
Kedua, rakyat juga akan melihat adakah BA benar-benar serius ke arah membentuk sebuah kerajaan yang memartabatkan kuasa rakyat dengan jaminan hanya dua penggal kepada pemegang jawatan perdana menteri, sedangkan baru jawatan menteri besar sudah hendak dipegang seumur hidup!
Saya dengan ini memohon agar isu ini dihadapi dengan lebih bijaksana oleh PAS dan BA kerana rakyat akan melihat isu ini sebagai gambaran Kerajaan Reformasi yang dijaja semasa pilihanraya lepas.
Saya juga mengecam tindakkan media yang terlibat dalam menyiarkan berita spekulasi ini dan berharap mereka lebih bertanggungjawab selepas ini. Media seharusnya dibiarkan bebas tetapi mereka seharusnya perlu lebih bertanggungjawab.
