Majlis Fatwa perlu haram TPPA
ULASAN Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mengadakan muzakarah dan menyatakan pendirian tegas dalam isu TPPA.
Perjanjian ini akan dibincangkan di parlimen dan ditandatangani oleh kerajaan Umno-BN untuk menjual Malaysia kepada penjajahan baru kuasa besar Amerika.
Pada masa sebelum merdeka, para ulama bangun memimpin rakyat menentang penjajahan British ke atas Malaya pada waktu itu.
Kini, Majlis Fatwa Kebangsaan wajib bangkit untuk bersama rakyat menghalang penjajahan baru hasil persekongkolan kerajaan Umno-BN menjual Malaysia.
Majlis Fatwa sebelum ini boleh meneliti isu vape yang dianggap oleh Majlis Fatwa haram kerana berbahaya, memudaratkan kesihatan dan membazir. Maka sudah tentu TPPA lebih berbahaya kepada masa depan Islam dan kedaulatan negara serta mengancam persaingan ekonomi rakyat Malaysia.
Majlis fatwa perlu mengharamkan perjanjian TPPA yang jelas akan memudharatkan kesihatan kehidupan agama dan budaya, ekonomi serta kedaulatan negara Malaysia tercinta.
Jangan biarkan kerajaan Malaysia melakukan perkara yang menjahanamkan masa depan generasi akan datang.
Jangan biarkan Kerajaan Umno-BN menyerahkan negara Malaysia tercinta pada perompak dan penjenayah antarabangsa yang akan merompak masa depan generasi Malaysia.
Umat Islam dan rakyat Malaysia menanti fatwa pengharaman TPPA daripada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menghalang kerajaan Umno-BN menandatangani TPPA demi mempertahankan kedaulatan Malaysia tercinta.
DATUK MAHFUZ OMAR MP Pokok Sena.

