Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya amat tertarik dengan dokumentari 'National Geographic Special' mengenai ibadah haji yang di paparkan oleh TV3 pada malam 21 Januari. Siarannya memang bertepatan sekali memandangkan umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Korban pada hari berkenaan.

Sebagai peminat setia rancangan berinformasi, saya memuji semangat TV3 menyiarkan rancangan berkenaan bagi menggambarkan dengan lebih jelas bagaimana ibadah haji dilaksanakan dan persaudaraan yang dipupuk oleh umat Islam sedunia melalui ibadah tersebut.

Syabas kepada TV3 kerana menyiarkan rancangan berkenaan. Sedikit sebanyak TV3 turut menunjukkkan semangat korban menjelang Aidil Adha.

Selepas sahaja tamat siaran 'National Geografic Special' saya menantikan siaran seterusnya memandangkan malam tersebut adalah malam Raya. Mungkin TV3 akan menyiarkan filem atau drama berkisar tentang ibadah korban dan apa-apa juga cerita yang mengambarkan pengorbanan sebagai seorang insan yang beragama Islam.

Namun cukup malang saya kerana semangat korban TV3 hanya separuh jalan. Filem Inggeris 'Mega Movie' yang ditayangkan jam 10 malam bertajuk 'Save the Last Dance' menunjukkan betapa pihak pengurusan TV3 tidak peka dan sensitif dengan majoriti umat Islam di Malaysia yang sedang menyambut Hari Raya Aidil Adha selama tiga hari.

Filem tersebut yang mengisahkan kehidupan remaja masyarakat barat yang mempertahankan tarian balet memang tiada kaitan lansung dengan Hari Raya Korban Adakah kerana tiada lagi filem Melayu yang hendak di tayangkan? Adakah kerana kurangnya drama-drama atau filem-filem yang mengisahkan tentang pengorbanan di Malaysia ini?

Adakah kerana pihak pengurusan TV3 sendiri tidak berupaya untuk mengubah pelan siaran yang sedia ada? Atau adakah terlalu mahal untuk menayangkan filem-filem dari negara Islam lain seperti Mesir dan Arab Saudi yang berkisahkan pengorbanan dan perjuangan menegakkan Islam?

Saya berharap agar pada masa akan datang, pihak pengurusan TV3 lebih prihatin dan sensitif dengan perayaan, sambutan hari kebesaran di Malaysia supaya rancangan yang disiarkan dapat memberi mesej kepada generasi yang menontonnnya.

Hairan juga apabila menjelang Hari Valentine, TV3 mampu menayangkan banyak filem mengenainya dua tiga minggu lebih awal, sedangkan ianya bukannya ikutan kita sebagai orang Islam.

Sedih sungguh apabila Hari Raya Korban, satu filem Melayu pun tidak ditayangkan di sebelah malam mahupun siang, sedangkan majoriti penduduk Malaysia menyambut Hari Raya Korban. Sia-sia sahajalah pengiktirafan dan pelancaran Islam Hadhari berikan oleh Perdana Menteri apabila TV3 tidak mampu menghayati dan memenuhi tuntutan tersebut.

Walaupun ianya hanya nampak remeh, sekadar siaran televisyen, namun ia memberi kesan yang besar kepada rakyat dan generasi muda yang menonton.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS