Surat Malaysiakini

Jangan perbodoh S'wak dengan Internet 4G lagi 5 tahun

Muhammad Syafiq Azmi  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Perdana menteri meneruskan lagi projek pembodohan kerajaan terhadap rakyat khususnya di negeri Sarawak.

Inilah bukti dan tanda kerajaan telah ketandusan idea untuk memajukan Sarawak.

Janji seperti ini hanyalah polemik murahan demi mendapatkan undi orang muda dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang ke-11.

Jelas mereka memberi layanan kepada rakyat Sarawak umpama mereka anak tiri.

Di semenanjung, Internet 4G ini telah hampir sebahagiannya boleh diakses.

Jika lima tahun lagi seperti janji PM, kami di semenanjung ketika itu telah menggunakan Internet 10G (jika ada), tetapi di Sarawak baru bermula 4G.

Apakah Sarawak akan sentiasa terkebelakang dari semua segi? Atau sengaja dikebelakangkan demi membiarkan rakyat Sarawak terus memberikan undi kemenangan kepada BN?

Persoalan ini perlu dijawab oleh semua rakyat Sarawak pada hari pembuangan undi nanti agar tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan sebelum ini.

Cukup-cukuplah Najib dan kerajaan Malaysia atau Sarawak, pembangunan itu hak rakyat untuk kamu uruskan.

Sama juga seperti hasil mahsul negara, anda di sana untuk menguruskannya sebaik mungkin, bukan untuk "dipinjam" dan guna hingga negara ini lingkup.


MUHAMMAD SYAFIQ AZMI pengarah komunikasi Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH).