Kami penduduk Kampung Matahari Naik dekat Teluk Kumbar, Pulau Pinang amat kecewa dengan keadaan jalan dan titi dalam kampung yang sempit lagi membahayakan.

Penduduk kampung telah memohon kepada pihak berwajib supaya dinaikkan taraf jalan dan titi sejak tahun 2000. Pada tahun 2003 dalam sepucuk surat pihak berkenaan berjanji membuat jalan dan melebarkan titi dalam tahun 2004.

Namun apabila muncul 2004 projek tersebut tidak dapat dijalankan dengan alasan peruntukan tidak mencukupi, dan kami diberitahu melalui sepucuk surat yang projek akan dijalankan tahun 2005/2006.

Pada 2005 Pejabat Perdana Menteri telah menghantar surat kepada pihak yang berwajib tersebut supaya jalan dan titi tersebut dibuat sebagai yang dijanjikan.

Malangnya, hingga ke hari ini, belum lagi nampak tanda fisikal projeck akan bergerak. Kami merayu pihak yang bertanggung jawab supaya mempercepatkannya kerana keadaan jalan agak teruk dan titi yang lebarnya lebih kurang 10 kaki itu boleh membahayakan rakyat.

RMK8 sudah berlalu dan kini masuk RMK9. Namun janji masih tinggal janji. Macam mana?