Malaysiakini
SURAT

SURAT | Yang pasti lawan Covid-19 tak boleh terhenti

Muhammad Kelantani

Diterbitkan
Dikemaskini 3 Nov 2020, 12:03 pagi

Walaupun majoriti negara di dunia ini sedang berhadapan dengan pandemik yang sama iaitu Covid-19, namun tak semua negara mengambil tindakan yang tepat dan berkesan.

Kita patut berasa beruntung dan bersyukur kerana dianugerahkan para pemimpin yang bukan sahaja tepat dalam membuat keputusan, malah ia terbukti memberi kesan yang baik terhadap rakyat jelata.

Kerajaan Malaysia telah berjaya sebenarnya melawan pandemik Covid-19 semasa kita diserang pada ketika gelombang pertama dan kedua tempoh hari.

Kejayaan ini membuatkan kehidupan harian rakyat kembali diurus seperti biasa dengan sedikit pertambahan terhadap amalan norma baharu dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah berulang kali memuji Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memacu jentera melawan Covid-19 dari bidang kesihatan awam dan penularan penyakit berjangkit.

Bank Dunia juga turut mengucapkan hal yang sama kepada Kerajaan Malaysia yang mampu mengurus kewangan negara supaya tidak muflis, disamping keperluan rakyat terus cukup dan selesa seperti biasa.

Antara faktor terpenting membantu kepada kejayaan ini adalah kaedah penyampaian bersifat tunggal. Lihat bagaimana urusan keselamatan dan pergerakan rakyat hanya dikeluarkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakub.

Berita berkaitan kes-kes jangkitan Covid-19 pula hanya diberikan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah setiap hari. Ini antara inisiatif menteri kesihatan untuk memberi peluang kepada penjawat awam tampil ke hadapan.

Dari segi maklumat di media sosial juga banyak tertumpu kepada media rasmi Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Di samping pertambahan sokongan dari pelbagai media kerajaan yang lain, serta media massa dan media bebas.

Satu lagi faktor utama kejayaan Malaysia adalah mengenai ketelusan. Kerajaan semasa yang ada pada hari ini mengambil keputusan untuk melaporkan perkara yang benar kepada rakyat. Sistem pengumpulan dan penyediaan data yang efisien dan berintegriti dengan sendirinya dapat menepis dakwaan dan manipulasi sesetengah pihak yang tak bertanggungjawab.

Dalam perkara ini, Pusat Kesiapsiagaan Dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan di bawah Dr Adham Baba telah diberikan amanah khusus bagi mengumpul dan melaporkan data yang benar setiap hari.

Kekuatan kewangan yang stabil juga antara faktor lain penentu kepada kejayaan Malaysia melawan virus pandemik. Walaupun pernah dituduh bahawa negara sudah tiada wang dan bakal bankrap, namun realitinya takung wang negara kita masih mampu mengurus pandemik yang panjang.

Kementerian Kewangan (MOF) telah berjaya merancang, mengawal dan mengagih-agihkan kekayaan negara kepada rakyat dan pasukan pengurusan pentadbiran kerajaan bagi memastikan mutu kehidupan rakyat negara ini tidak terjejas teruk.

Ya, mustahil kehidupan tidak terjejas, namun memastikan kehidupan rakyat memperoleh perkara yang asas sudah cukup buat sebuah kerajaan negara pertengahan atau negara ketiga seperti kita.

Jika nak sebut soal usaha kerajaan bagi menangani virus berbahaya ini, sudah tentu seluruh muka surat khabar tidak cukup untuk dikarang. Biarlah hanya beberapa yang terlintas sahaja kita sebutkan agar menjadi ingatan rakyat kebanyakan. Yang penting kita sama-sama sedar bahawa rakyat telah melakukan yang terbaik untuk negara, dan negara juga tidak pernah lelah untuk memberi yang terbaik kepada rakyat jelata. Kita mesti menang!


DR MUHAMMAD KELANTANI
Bandar Baru Bangi

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan