Malaysiakini
SURAT

SURAT | Umno tamat sokongan demi rakyat

Mustafa Shah Abdul Hamid

Diterbitkan

Pemuda Umno Kuala Kangsar menyambut baik keputusan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno di bawah kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi untuk menamatkan sokongan terhadap Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri Malaysia kelapan.

Keputusan MKT semalam juga adalah selaras dengan keputusan PAU 2020 dan ia sentiasa konsisten dengan kehendak yang juga keputusan secara kolektif ahli akar umbi di seluruh negara.

Keputusan ini amat ditunggu-tunggu oleh segenap akar umbi Umno di seluruh negara termasuk di Kuala Kangsar kerana kegagalan pentadbiran kerajaan PN terutamanya mengenai perkara yang melibatkan kebajikan rakyat menghadapi Covid-19 di samping pengurusan vaksin dan imunisasi yang terlalu perlahan.

Kami percaya bahawa Umno tidak lagi perlu untuk berterusan menanggung kegagalan demi kegagalan yang dipamerkan oleh Muhyiddin yang dilihat mengambil kesempatan di kala kesulitan ini untuk memperkukuhkan Bersatu dan kedudukan beliau sebagai perdana menteri.

Kami juga percaya bahawa keputusan MKT Umno pada pagi ini bertujuan untuk menyelamatkan negara dan rakyat daripada terus diurus secara tidak berhemah.

Puncak kepada kegagalan kerajaan PN juga adalah kempen bendera putih yang tular baru-baru ini akibat daripada rakyat yang mengalami kesempitan hidup yang keterlaluan.

Ia memperlihatkan berbilion-bilion pakej bantuan yang dirangka oleh kerajaan PN tidak sampai kepada golongan yang terdesak ini malah membebankan rakyat dengan pelbagai polisi, peraturan dan birokrasi.

Terima kasih kepada YB Datuk Seri Presiden dan seluruh ahli MKT kerana mendengar serta menghormati suara akar umbi Umno dan seluruh rakyat Malaysia yang kecewa terhadap prestasi pentadbiran kerajaan PN yang amat lemah.

Semoga dengan pelantikan perdana menteri yang baharu secara sementara berupaya untuk menyusun semula agenda kebajikan rakyat dan menangani Covid-19 dengan memastikan proses vaksinasi disegerakan.


MUSTAFA SHAH ABDUL HAMID ialah exco Pemuda Umno merangkap ketua pemuda Umno Kuala Kangsar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.