Biar kadar tol naik sehingga 300%
Saya merujuk kepada berita malaysiakini Kadar tol naik 20 hingga 60 peratus!
Rakyat Malaysia akan membayar kadar tol yang lebih tinggi menjelang 1 Jan ini sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Kerjaraya S Samy Vellu. Samy boleh menyindir rakyat Malaysia yang lembek dengan katanya 'siapa yang mahu menggunakan lebuhraya mestilah bersedia untuk membayar tol'.
Rakyat Malaysia adalah rakyat yang paling baik di dunia. Sepatutnya kerajaan BN menaikkan kadar tol sehingga 300% sebagai hadiah paling bermakna kepada rakyat yang baik ini. Percayalah wahai kerajaan BN bahawa rakyat sanggup membayar tol walaupun kadarnya dinaikkan sehingga tahap itu.
Di samping kenaikkan kadar tol, kerajaan BN juga harus mengkaji semula harga bahan api di Malaysia kerana walaupun telah dinaikkan sebanyak 30 sen, ianya masih murah berbanding negara lain.
Saya syorkan walaupun harga bahan api dalam pasaran dunia sekarang menurun, kerajaan BN haruslah menaikkan harganya ke tahap RM2.50 seliter bagi menambahkan lagi kantung kewangan negara untuk diagihkan kepada pemimpin BN.
Rakyat yang tinggi mentaliti feudalistiknya akan setia membayar harga bahan api petrol walaupun pada kadar RM2.50 seliter.
Saya sudah bosan dengan sikap rakyat Malaysia. Justeru, saya berharap agar kerajaan BN dapat menunaikan cadangan saya menjelang tahun baru ini demi kebaikan pemimpin BN.
Cemerlang, gemilang, terbilang, temberang!

