SURAT | Menjawab tuduhan presiden PAS pada Amanah
SURAT | Ramai kawan-kawan saya masih bersama PAS. Teruskan. Tapi jangan marah kami kritik Presiden PAS Abdul Hadi Awang. Kritikan kami atas kapasiti dia sebagai ahli politik.
Apabila dia bercakap, kayu ukurnya adalah untuk menang persepsi politik dia. Apabila dia naik pentas, dia serang ahli politik lain pun untuk cipta persepsi. Cuma agak melampau apabila dia sandar dalil al-Quran dan hadis pada musuh politik PAS.
Jika dia sebut ayat al-Quran lawan orang kafir, ketahuilah ayat-ayat itu perlu difahamkan bukan pada kafir yang bernegara di bawah Malaysia. Kafir dalam al-Quran itu kafir pelampau setaraf penentang Allah dan Nabi Muhammad.
Adapun yang menentang Abdul dan partinya, tidak layak disandarkan pada ayat tersebut termasuk ahli parti Gerakan yang sebelum ini membantah pengajaran Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi. Mereka boleh difahamkan lagi. Mereka bukan mengangkat senjata.
Di Malaysia ada dua parti yang dasarnya al-Quran dan hadis; PAS dan Amanah. Perbezaan hanyalah ijtihad pendekatan. Jika PAS tuduh Amanah dengan DAP, ketahuilah juga PAS bersama Gerakan.
Jika PAS tuduh dasar DAP adalah sekular, dasar Gerakan adalah liberal. Jika PAS boleh guna kaedah fiqh untuk terima Gerakan, Amanah juga guna kaedah fiqh yang sama terima DAP. Tetapi, presiden PAS menuduh Amanah bersama DAP 'sekadar nak menang pilihan raya', itu tuduhan berat.

Apakah Abdul Hadi lupa? PAS pernah bersama DAP nak menang beberapa siri pilihan raya sejak 1999. Setakat ini, belum ada rekod PAS menang dengan Gerakan.
PAS juga berpakat dengan banyak parti bukan Islam di Sabah dan Sarawak untuk tebuk atap masa Langkah Sheraton. PAS menjadi kerajaan persekutuan selama 33 bulan. Semua tahu apa terjadi pada Malaysia. Sudah menang, tapi tiada satupun gagasan Islam dibawa.
PAS juga bagi 20 kerusi pada Gerakan di Pulau Pinang untuk tujuan menang pilihan raya negeri baru-baru oni. PAS hanya bertanding 10 kerusi. Gerakan 20 kerusi, Bersatu 10 kerusi.
PAS juga sedang sibuk dengan sekutu-sekutunya untuk jatuhkan kerajaan perpaduan atas nama demokrasi. Mengeyakan ‘pembelian-pembelian’ ahli parlimen untuk jatuhkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Jadi, kita perlu lihat PAS sebagai parti politik. Apabila mereka buat, “halal”. Apabila pada orang lain buat, “ikut kehendak DAP”. Apakah jin yang merasuk PAS sampai takut sangat pada DAP?
Orang PAS yang keluar Amanah bukan tukar agama. Asasnya adalah perkara ijtihad dalam politik. Amanah membawa naratif berbeza dengan PAS.
Apa naratif Amanah? Tidak guna nama Islam pada parti sebab parti bukan agama. Ia dibuat oleh manusia. Terdedah dengan pelbagai fitnah dan persepsi jahat (baru tubuh Amanah, Presiden PAS dah gelar ‘khadam DAP’). Inilah tanggungjawab pimpinan awal Amanah.
Mesej Islam yang dibawakan Amanah dalam bentuk dakwah yang lebih universal dengan pendekatan mendidik dan memahamkan orang Islam dan bukan Islam tentang Islam.
Amanah memperkenalkan konsep Islam Rahmatan Lil Alamin. Amanah juga yang menterjemahkan konsep Rahmah secara praktikal dan difahami oleh rakyat. Bukan hanya bermain isu-isu yang puluhan tahun berulang setiap kali pilihan raya seperti hudud, RUU355, arak dan judi.
Adakah perjuangan Islam hanya terhad ke arah itu sahaja? Takkan tiada seorang pun ulamak dalam 'Dewan Ulamak PAS' boleh berfikir lebih jauh ke depan?
Amanah mengimbangi politik Malaysia yang perlukan citra Islam yang sebenar. Bukan Islam celupan atau penghukum. Amanah masuk politik untuk mengetengahkan polisi-polisi negara yang mempunyai nilai-nilai Islam yang menjamin hak warganegara.
Apakah ia bukan jaminan yang Islam berikan? Jaminan bukan bermakna mengikut kehendak tanpa peraturan.
Amanah juga menjadi benteng ekstremisme agama di Malaysia. Semua kalam pelampau ditolak dengan hujah dengan matlamat memastikan Malaysia tidak menjadi seperti negara-negara Islam yang musnah kerana pelampau agama. Banyak negara Islam musnah kerana pelampau yang akhirnya berantakan sehingga sekarang.
Fikrah ini sangat jelas. Kebetulan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. Figura Amanah yang telah menterjemahkan nilai Islam pada Amanah di peringkat nasional telah meninggalkan kita dengan dua tempat ini untuk dipertahankan.

Bukan pertahankan batang tubuh almarhum Salahudin Ayub. Tetapi lebih besar fikrah dan perjuangan Amanah yang ditunjukkan almarhum adalah yang lebih utama untuk dipertahankan. Amat malang pentas ceramah PN tidak sedikit pun ada ucapan terima kasih pada Almarhum. Yang ada hanyalah DAP dan DAP.
Islam di Malaysia tidak akan menjadi semakin baik jika kebencian yang dimainkan PAS dan PN dibiarkan. Mereka pun bebas bercakap atas jasa Pakatan Rakyat yang PAS pernah bersama dulu. Tetapi akhirnya, kebebasan ini menjadi pemecah belah kepada perpaduan Malaysia.
Jika Abdul Hadi membina persepsi Amanah ditubuhkan sekadar untuk menang pilihan raya, ia hanyalah kalam dusta dari Presiden PAS yang digelar ulamak. Ulamakkah begitu? Atau ahli politik?
Sekadar menutup kata; Jika kamu ingat kamu sahaja pejuang Islam, jangan ingat orang lain tidak perjuang Islam. Situ duduknya.
AHMAD SHAHIR MD SHAH merupakan naib ketua Pemuda Amanah Negeri Sembilan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/8dddb87e314431764c2badcc032fc967.jpg)
