SURAT | Isu dalaman yang didakwa muncul di antara PAS dan Bersatu sudah semakin diperkatakan sejak dari pilihan raya kecil (PRK) di Selangor pada Mei lalu.

Sudah tentu orang yang lebih tahu ialah pengundi di Kuala Kubu Bharu kerana merekalah yang menyaksikan bagaimana suasana jentera kempen PN ketika itu.

Mana tidaknya, pada hari penamaan calon tiada seorang pun pemimpin utama PAS kelihatan mengiringi calon Bersatu, manakala semasa kempen berlangsung jentera parti itu juga dikatakan tidak seramai sepatutnya.

Ada khabar angin yang mendakwa kononnya PAS mahu meletakkan calon di Kuala Kubu Bharu namun kita tahu bahawa pada akhirnya calon Bersatulah yang diturunkan.

Keputsan - seperti yang diketahui semua - kerusi tersebut kekal menjadi milik parti kerajaan melalui calon PH, Pang Sock Tao, yang menggagalkan cubaan PN melalui Khairul Azhari Saut, serta dua lagi calon dari Parti Rakyat Malaysia serta bebas.

Kini sudah lebih seminggu kempen di PRK Sungai Bakap berlangsung.

Sama ada disedari atau tidak, suasana melatari kempen di pihak PN di Sungai bakap seolah-olah sama saja. Maksudnya keadaan dihadapi PAS di Sungai Bakap adalah suasana Bersatu di Kuala Kubu Bharu.

Sejak dari hari penamaan calon, tidak ada pimpinan tertinggi Bersatu hadir manakala program ceramah hanya menampilkan tokoh 'biasa-biasa' saja.

Semasa program ceramah, memang ada Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, hadir. Namun bekas perdana menteri itu kelihatan bergegas meninggalkan pentas ketika Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man baru memulakan ucapan.

Difahamkan Muhyiddin meminta agar gilirannya diawalkan supaya dia dapat beredar segera kerana terikat dengan urusan lain di Kuala Lumpur.

Cuma agak menarik apabila pada ketika itu bukan Muhyiddin dan pengiringnya saja yang beredar sebaliknya pemimpin lain dari Bersatu juga meninggalkan majlis.

Kini terserah pada pengundi di Sungai Bakap untuk memilih wakil mereka pada 6 Julai ini agar nasib penduduk di situ terbela.

Apa pun keputusannya nanti, kita menunggu pula perkembangan berkaitan hubungan dalaman PN di Nenggiri, Kelantan.


TAN YUSOF ialah pembaca Malaysiakini yang mengikuti rapat perkembangan PRK Sungai Bakap.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.