Wafiq mengecam keras penglibatan ahli politik dalam kes rogol yang diputuskan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Meskipun bukan sebagai pelaku, namun penglibatannya mengatur sambutan ulang tahun, yang diraikan dengan minuman beralkahol, dinamakan dalam alasan penghakiman yang tular khususnya melalui keterangan saksi pengadu.

Wafiq memandang isu ini dengan serius dan mengecam tindakan tidak beretika seorang lelaki yang sanggup menodai seorang wanita dalam kerentanan, ketika wanita itu tidak mampu membela keselamatan dirinya sendiri.

Wafiq mengingatkan masyarakat Malaysia secara umum, khususnya kepada kaum lelaki bahawa wujud tanggungjawab dan amanah bagi kesemua lelaki untuk memelihara kehormatan kaum wanita. 

Kegagalan lelaki memelihara amanah ini amatlah dikesali.

Selain itu, keterangan saksi pengadu dalam alasan penghakiman tersebut turut menyatakan dengan jelas bahawa politikus tersebut telah mengadakan hubungan intim bersamanya meskipun tiada ikatan perkahwinan yang sah. 

Ini ketara menggambarkan moraliti dan integriti politikus terbabit yang buruk sehinggakan dia sanggup meninggalkan teman wanitanya dalam keadaan rentan bersama pembantunya tanpa mengambil kira keselamatan wanita tersebut yang akhirnya dirogol.

Wafiq mencela tindakan ahli politik tersebut yang tidak segan dengan moraliti yang dipegang teguh masyarakat Malaysia yang bersandarkan budaya ketimuran yang mementingkan prinsip keutuhan keluarga sebagai pasak utama masyarakat. 

Sebagai pemimpin dalam masyarakat yang memegang jawatan penting dalam politik termasuklah sebagai seorang anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor, ahli politik tersebut menunjukkan kelakuan yang sangat biadap terhadap keluhuran perlembagaan yang memperakui ajaran agama Islam sebagai pasak negara, selain mengingkari kedaulatan undang-undang, termasuklah enakmen syariah negeri.

Wafiq mendesak agar parti politik yang dianggotainya mengambil tindakan tegas terhadapnya di atas penglibatannya dalam skandal seks ini.

Selain itu, Wafiq menuntut agar Bahagian penguatkuasaan agama dan bahagian pendakwaan syarie memulakan penyiasatan yang telus dan selanjutnya menggunakan kerangka perundangan sedia ada untuk memastikan ahli politik tersebut dikenakan tindakan sewajarnya, khususnya dalam memastikan pasangan Muslim yang mengaku berzina--dan tidak menafikan mereka berzina dalam dokumen rasmi mahkamah--disiasat.

Sebagai Adun yang terlibat secara langsung dalam penggubalan undang-undang di peringkat negeri, ahli politik terlibat bertindak bertentangan dengan nilai kehormatan dalam undang-undang Malaysia, khususnya di Selangor.

Malaysia mempunyai sistem perundangan yang unik. Moraliti dipandang penting bagi memelihara keselamatan dan kesejahteraan rakyatnya. Wafiq menuntut agar sistem perundangan ini digunakan sepenuhnya bagi memastikan jenayah seumpama kes sebegini dielakkan daripada berleluasa.


FATIHAH JAMHARI ialah naib presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (Wafiq).

Wafiq memperjuangkan hak wanita, keluarga dan kanak-kanak, dan merupakan anggota Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.