Paling Popular
Terkini

SURAT l Ramai di luar sana yang menghujani dengan bertanya kepada saya betulkah Khairy Jamaluddin akan kembali kepada Umno.

Secara jujur dan ikhlas saya tiada jawapan. Saya mengambil dan bersikap terbuka dengan apa-apa pun keputusan dari parti atau presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri. Siapalah saya untuk menyanggah keputusan parti.

Setakat ketua bahagian biasa yang memegang jawatan ketua penerangan Umno Wilayah Persekutuan, pandangan dan teguran tidak ke mana pun.

Jika presiden Umno berjiwa besar, saya dan mereka yang mempunyai sentimen dengan Khairy juga wajib berjiwa besar.

Lupakan apa yang pernah dikatakan oleh Khairy kepada Umno dan Zahid walaupun kenyataan "biawak hidup" masing terngiang-ngiang di telinga ahli-ahli Umno yang setia mempertahankan institusi presiden.

Adakah akan ada upacara "taubat nasuha" dengan kenyataan permohonan maaf dan "peluk arab" di antara Khairy dan presiden.

Wallahuallam. Saya tahu ramai akan "lembik tengkuk" dengan kemasukan Khairy semula.

Yang cuma merisaukan saya keharmonian dan kerukunan yang presiden telah semaikan dalam parti.

Adakah kehadiran Khairy semula akan mengukuhkan kedudukan parti? Jika benar, alhamdullilah.

Pandangan saya ikhlas, saya dan ramai lagi pemimpin marhaen yang berada di "tingkat bawah blok rumah PPR" ini tidak terkesan sama sekali kerana tidak pernah mempunyai cita-cita menjadi presiden atau timbalan presiden selepas ketiadaan Zahid.

Yang terkesan mungkin pada mereka yang sedang "pasang badan" untuk menjadi presiden atau timbalan presiden pada masa hadapan.

Pasti pertembungan akan berlaku bila demokrasi parti dan pemilihan parti akan dijalankan. Ingat pemilihan PKR baru-baru ini boleh menjadi teladan kepada parti kita.

Akhir kata, seperti pernah saya nyatakan di dalam ucapan perhimpunan agung Umno 2023, Zahid sering berkata "I will forgive but never forget".

Cuma yang saya risau kini Zahid akan lupakan segalanya. Selebihnya, “I rest my case cause political dynamics will be always as valid and strong reasons to remedy the situation.”

Wallahuallam.


GULAM MSZAFFAR adalah ketua Umno bahagian Batu merangkap ketua penerangan Umno WP.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS