Motif sebalik pengambilalihan Nanyang
Semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, hartawan Quek Leng Chen yang memiliki 70 peratus saham Nanyang Press Holdings Berhad (Nanyang Press), iaitu syarikat yang menerbitkan Nanyang Siang Pau dan China Press , sering dianggap sebagai penyokong Anwar.
Namun demikian, setelah Anwar dipecat, dan ditangkap atas tuduhan liwat yang masih gagal dibuktikan, 'orang-orang Anwar' termasuh Quek dan beberapa ahli korporat lain turut menghadapi tekanan daripada rejim Mahathir. Kebanyakan mereka terpaksa menyerahkan diri gara-gara tekanan politik kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bukan sedikit.
Bagaimanapun, Quek yang juga memiliki Kumpulan Hong Leong tentulah bukan calang-calang orangnya yang boleh ditundukkan dengan begitu mudah. Akhirnya beliau berjaya memaksa BN memberi laluan agar Hong Leong Bank dijadikan salah satu bank sauh di bawah rancangan penggabungan bank BN.
Sungguhpun demikian rejim Mahathir masih menaruh syak wasangka terhadap Nanyang Press. Ini disebabkan Nanyang Siang Pau dan China Press juga seperti akhbar-akhbar Cina lain membuat liputan berita pro-Anwar, terutama sebelum pilihanraya tahun 1999. Sebaik sahaja selesai pilihanraya, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik mula merancang untuk memiliki Nanyang Press.
Malangnya (bagi Ling), sebelum rancangan itu dapat digerakkan sepenuhnya, Ling pula ditimpa masalah peribadi tidak putus-putus. Anaknya sendiri dibelit hutang sehingga RM1.2 billion. Pelbagai skandal kewangan telah membantutkan rancangan Ling untuk mengambilalih kedua akhbar tersebut.
Bagaimanapun, Ling cuba menutupi keaiban itu secara halus. Ling yang masih dibebani masalah peribadi, sekali lagi menghadapi krisis dengan timbalannya, Datuk Lim Ah Lek, hatta sandiwara perletakan jawatan Menteri Ling dipentaskan bagi menyelamatkan beliau daripada kecaman politik di peringkat akar umbi MCA.
Tatkala inilah, Sin Chew Jit Poh dan Guang Ming Daily yang dimiliki oleh kawan baik Ling, boss Pemandangan Sinar Tiong Hiew King, seorang hartawan balak yang terkenal di negeri Sarawak, cuba menutup kesalahan Ling dengan menghiaskan nama puak Ling melalui akhbar-akhbarnya. Justeru Nanyang Siang Pau dan China Press yang tidak memihak mana-mana puak berkenaan telah menjejaki langkah akhbar-akhbar Cina yang lain dengan melaporkan berita-berita yang dirasai oleh puak Ling boleh mengancam kedudukan Ling.
Sementara pertarungan di antara puak Ling dan Lim makin sengit menjelang pimilihan pimpinan tertinggi MCA tahun depan, masayarakat Tionghua pula dilanda banyak masalah seperti isu Bukit Perkuburan Kwang Tung yang dipaksa pindah, sekolah wawasan, Suqiu dan penutupan bangunan asal Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Damansara.
Menurut maklumat dalaman MCA, mesyuarat kabinet sering menyoal mengapa masyarakat itu akhir-akhir ini kerap menimbulkan masalah kepada BN, Menteri Penuh puak Ling pula mengambil kesempatan ini untuk membalas dendam dan menuduh Nanyang Siang Pau dan China Press sebagai punca segala-galanya. Padahal Sin Chew Jit Poh dan Guang Ming Daily milikan Tiong, kawan baik Ling itu, seperti akhbar-akhbar Cina lain juga tidak kurang hebatnya melaporkan berita-berita tentang masalah itu.
Barangkali puak Ling ingin membalas budi Tiong yang pernah membantu memeliharakan imej Ling apabila Ling dihentak oleh pelbagai skandal kewangan yang mengaibkan itu. Akibatnya, kabinet mengarahkan MCA dengan segera 'menyelesaikan' Nanyang Siang Pau dan China Press yang kononnya (menurut tafsiran puak Ling) sering menimbulkan masalah kepada BN.
Dengan arahan kabinet terbaru ini, puak Ling seolah-olah diberikan suntikan ubat perangsang untuk membangkit semula isu berkenaan. Lantas mereka bersekongkol dengan Tiong, sekali lagi, untuk merancangkan pengambialihan Nanyang Press daripada Quek Leng Chan, hatta menjejaskan kebebasan akhbar yang selama ini dinikmati oleh masyarakat Tionghua. Wujud kini, persaingan hebat antara dua kelompok akhbar-akhbar Cina utama, yakni Nanyang Press (milik Quek) dengan Pemandangan Sinar (milik Tiong).
Tampaknya, pengambilalihan Nanyang Press oleh MCA, dikatakan dengan bantuan hartawan Tiong, mempunyai muslihat terselindung bukan sahaja untuk menghapuskan pengaruh Anwar di kalangan ahli korporat, bahkan bagi menghapuskan kebebasan akhbar yang selama ini dinikmati oleh masyarakat Tionghua.
Pengambialihan ini juga menandakan masyarakat Tionghua mula memasuki satu era tanpa 'Anwar' (Anwar dalam bahasa Mandarin berbunyi 'an hua'yang bermakna masyarakat Tionghua yang aman) di mana kebebasan bersuara masyarakat itu mula disekat sepertimana Anwar yang telah kehilangan kebebasan dan suaranya kerana dikekang oleh rejim Mahathir.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna masyarakat Tionghua perlu mengalah kepada MCA dan rejim Mahathir kerana tiada kebebasan akan datang bergolek tanpa pengorbanan dan perjuangan. Perjuangan yang hakiki perlu dihayati oleh anggota masyarakat itu sebagaimana yang pernah disorakkan oleh Anwar yang seterusnya dijadikan slogan gerakan reformasi: 'lawan tetap lawan!'

