SURAT | Hukuman ke atas pelajar cuma pilihan, bukan kemestian
SURAT | Sistem pendidikan merupakan tunjang kepada pembangunan sesebuah negara. Bagaimanapun, kejayaan sesebuah sistem pendidikan tidak didukung oleh dasar semata-mata tetapi turut mengambil kira kebijaksanaan guru dalam membentuk keperibadian murid.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohammad pada 2018 pernah menjelaskan bahawa guru perlulah bijak dalam mengatur strategi ketika berhadapan dengan ragam murid yang pelbagai.
Dengan memetik istilah mithali, Zulkifli menegaskan bahawa seseorang guru haruslah bersikap rahmah dalam menyantuni dan membuat pertimbangan apabila berhadapan dengan pelbagai sikap murid.
Baru-baru ini tular pelbagai reaksi apabila munculnya isu hukuman rotan yang tidak ditarik balik di sekolah. Ia jelas mempamerkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah meletakkan dasar yang terbaik dalam memberikan mandat kepada pihak sekolah untuk membendung masalah disiplin.
Menelusuri perkara ini, tidak dapat dinafikan bahawa sesuatu hukuman mampu memberikan pengajaran kepada murid. Garis panduan dalam memberikan hukuman tersebut telah disebar dengan meluas kepada pihak sekolah.
Berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas 2003, dijelaskan bahawa guru besar atau pengetua boleh mewakilkan kuasa disiplin dan kuasa menjalankan hukuman kepada guru lain.
Namun hukuman tersebut perlulah berdasarkan prosedur dan dihadkan kepada rotan ringan di tapak tangan atau punggung yang berlapik pakaian murid tersebut.
Ia menjadi persoalan besar kepada barisan pendidik – adakah murid zaman sekarang tidak boleh disentuh, atau mereka terlalu manja dek risiko laporan polis yang boleh dibuat sekiranya guru menyentuh murid?
Sentuhan jiwa juga boleh mendidik
Bagaimana dengan tindakan ibu bapa yang membuat laporan polis selepas mendapati anak mereka cedera kerana hukuman oleh pihak sekolah? Adakah suatu tindakan wajar atau sebaliknya apabila ibu bapa mempersoalkan kenapa hukuman dikenakan secara semberono kepada murid?
Penulis meninggalkan persoalan ini sebagai satu tanda tanya kepada pihak guru dan juga ibu bapa dalam mencari jalan penyelesaian terbaik mendidik anak-anak.
Ahli psikologi terkenal dari AS, BF Skinner, menjelaskan tentang eksperimen yang dilakukan terhadap tikus bagi membuktikan hukuman (renjatan elektrik) dan peneguhan positif (makanan) dapat menghasilkan tindak balas yang dikehendaki.
Eksperimen tersebut menunjukkan bahawa renjatan elektrik yang dikenakan kepada tikus menyebabkan haiwan tersebut tidak menekan tuil. Namun, yang menjadi persoalan utama, adakah murid juga dianggap sebagai tikus makmal yang perlu dikenakan renjatan elektrik berkali-kali supaya mereka tidak melakukan perkara atau melanggar larangan?
Tindak balas yang berlaku daripada hukuman yang dikenakan jelas menunjukkan bahawa ia dibuat atas dasar ketakutan dan bukannya kesedaran kendiri. Justeru tidak ada jaminan yang kukuh kesalahan yang dibuat itu tidak akan berulang.
Pensyarah Sekolah Pendidikan Universiti Utara Malaysia, Prof Fauziah Abdul Rahim, melalui penulisannya, Learning Through ECAM Model of Mediation mengupas tentang kaedah mediasi dalam memenangi hati pelajar abad ke 21.
Dia memberikan gambaran yang jelas bahawa sentuhan lembut seorang guru memainkan peranan besar dalam keberkesanan modifikasi tingkah laku’ seorang murid autistik.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/3db14d4957ea383da5f39d2b1d904222.jpg)
Persoalan utama yang boleh diutarakan dalam konteks ini ialah, sekiranya guru tersebut berkeras untuk terus mengambil tindakan menghukum, kemungkinan besar murid terbabit akan mengambil tindakan lebih drastik.
Ia adalah bagi menunjukkan protes terhadap hukuman yang diterimanya.
Penulis percaya bahawa kaedah didikan yang pelbagai bukan hanya mampu mendidik seorang anak autistik tetapi boleh menangani masalah disiplin yang timbul dalam kalangan murid di kelas arus perdana.
Pun begitu hukuman tetap boleh diberikan sebagai jalan terakhir berlandaskan prosedur.
Barisan pendidik tidak boleh menafikan bahawa Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan boleh disabitkan sekiranya guru mengambil tindakan menghukum murid secara semberono.
Frasa mendidik perlu dihayati oleh setiap guru. Sikap bertindak secara rasional perlu dijadikan pendirian dalam memberikan hukuman sewajarnya ke atas tindakan murid. Sistem pendidikan bukanlah sebuah makmal tetapi jentera melahirkan modal insan bertaraf glokal melalui didikan berkualiti.
Justeru, para guru perlu memperkasa ilmu pedagogi dalam melaksanakan dan mewujudkan suasana pembelajaran selamat, kondusif, serta bermakna kepada murid.
Jiwa seorang pendidik bukanlah mahu menghukum semata-mata sebaliknya perlu meneliti setiap tindakan supaya tiada murid yang tercedera atas kecuaian mereka.
Hak murid untuk belajar dalam suasana selamat dan tidak berasa terancam perlu dipertahankan.
AFIF BENTALIB ialah seorang bapa kepada empat anak dan sedang belajar mendidik generasi strawberi.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/06/818317f69198bd7f196e8c38d646e5b8.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.