Pemuda Umno perlu mengubah peranannya menjadi suara rakyat, bukan suara kerajaan, kata Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Calon jawatan ketua Pemuda Umno itu berkata, perubahan tersebut adalah perlu jika mahu mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno dan BN.

khir toyo 181207 Dr Mohd Khir yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata ia merupakan cabaran utama kepada pergerakan itu jika ia mahu terus relevan dalam arena politik negara.

"Kita kena perjuangkan hak rakyat dan kalau kita gagal, rakyat akan cari tempat lain. Kepimpinan perlu terima hakikat, Pemuda perlu jadi suara rakyat," katanya dalam temubual Bernama menjelang pemilihan Umno minggu depan.

Beliau ditanya mengenai perubahan yang diperlukan Pemuda Umno dan apa yang akan dilakukan beliau sekiranya dipilih mengisi kerusi Ketua Pemuda Umno yang dikosongkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dr Mohd Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Pasir Panjang, Selangor, berkata selain menjadi suara rakyat, Pemuda perlu melakukan proses "pendidikan politik" dan mengukuhkan peranan Pemuda BN di semua peringkat.

"Kena buat pendidikan politik. Ini yang kurang, sebab itu ada masuk Umno untuk dapat projek bukan untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara," kata Dr Mohamad Khir.

Dasar ekonomi

Beliau berkata Pemuda Umno juga perlu mendesak kerajaan untuk melakukan perubahan dalam pentadbiran kerajaan dan polisi ekonominya bagi memberi keadilan kepada semua pihak.

Perhimpunan agung Umno yang akan diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 24 hingga 28 Mac ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan Ketua Pemuda Umno.

Dr Mohd Khir, 43, akan berdepan dengan Naib Ketua Pemuda Umno yang juga ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, 33, dan Exco Pemuda Umno yang juga ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Mahathir, 44.

Mengapa beliau menawarkan diri untuk bertanding? Dr Mohd Khir menjawab: "Jika kita lihat kekalahan kita pada pilihanraya 2008 yang banyak merosot kerana masalah pengundi muda.

"Jadi isu sebenar dalam Umno dan Malaysia ialah isu orang muda. Jadi kalau saya bertanding jawatan lain, dalam MT misalnya, tapi Umno kalah dalam pilihanraya... tak de maknanya. Jadi saya turun ke bawah untuk menawarkan diri secara realiti bahawa Pemuda perlu diperbaharui dengan motto "Pemuda Berani".

Beliau juga menggesa perwakilan Pemuda berfikir secara rasional dan membuat pemilihan secara ikhlas, jujur dan mengutamakan calon yang berpengalaman.

"Ini kerana pemilihan kali ini penting untuk menentukan hidup dan mati Umno yang kini dalam kritikal. Kalau pemimpin tidak mampu lakukan (perubahan) serta merta, kita mungkin kalah di (pilihanraya kecil Parlimen) Bukit Gantang.

"Pilihlah pemimpin yang sedia turun ke bawah. Sekarang tidak boleh bincang pasal laba atau projek kerana Umno sekarang amat kritikal dan dinilai secara terperinci oleh rakyat," katanya.