DAP meletakkan kesalahan bulat-bulat kepada bakal perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung beberapa tindakan yang disifatkan tidak demokratik, termasuk melarang isu Altantuya Shaariibuu dibangkitkan dalam kempen tiga pilihanraya kecil sekarang.

"Malah sebelum menjadi perdana menteri, Najib boleh dipersalahkan kerana menukar wajah negara ini - daripada suasana terang bawah pentadbiran lima tahun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menjanjikan (walaupun gagal ditunaikan) keterbukaan, demokrasi meluas, penanggungjawaban dan integriti kepada mendung lanskap politik menjelang peralihan kuasa kepada Najib sehingga integriti dan keabsahan sebagai perdana menteri (baru) boleh dipertikaikan," kata tokoh parti itu Lim Kit Siang.

"Walaupun Najib belum rasmi mengambil alih kuasa sebagai perdana menteri baru, beliau telah menggunakan kuasa itu sejak dua bulan lepas, dengan menjadikan Abdullah perdana menteri pada nama sahaja."

Lim, juga ahli parlimen Ipoh Timur, mengulas beberapa siri tindakan keras terhadap pembangkang, termasuk larangan mengejut Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.

Arahan polis di hari ketiga kempen di parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan DUN Batang Ai termasuk, mengulas keputusan Raja-raja Melayu, dipercayai percubaan menghalang PAS dan PKR mengkritik BN berhubung kontroversi rampasan kuasa di Perak.

Lim turut menyenaraikan beberapa tindakan lain yang dikaitkan dengan timbalan perdana menteri itu, antaranya:

bullet button Pengerusi DAP Karpal Singh dituduh di mahkamah atas kesalahan menghasut berhubung hasratnya menyaman Sultan Perak,

bullet button Menggantung tugas ahli parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo tanpa gaji selama setahun selepas membangkitkan isu Altantuya di Parlimen,

bullet button Menggantung permit penerbitan dua akhbar pembangkang Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan, dan

bullet button Menahan ADUN DAP Tebing Tinggi, Ong Boon Piaw kerana menayangkan DVD 'Democracy Tree', beberapa hari lalu.