Dr M boleh bantu calon BN menang
Kehadiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkempen di Bukit Gantang Ahad ini boleh membantu calon BN, Ismail Saffian, kata seorang pemimpin Umno tempatan.
Timbalan ketua Umno bahagian Bukit Gantang, Kamarulail Sulaiman berkata, Dr Mahathir boleh mendapatkan sokongan daripada pengundi Umno yang tidak mengundi BN dalam pilihanraya umum lalu.
"Kita berharap pengundi Umno memberikan sokongan penuh kepada calon kita (Ismail), Selasa ini," katanya.
Ketika diminta mengulas perkembangan terakhir di Bukit Gantang, Kamarulail berkata, peluang calon BN menang adalah cerah tetapi perlu bekerja kuat.
"Sambutan di kalangan pengundi terutama orang Melayu sangat baik, lebih baik dari pilihanraya umum lalu.
"Tetapi cuma kita bimbang ada isu-isu terakhir yang disebarkan sebelum hari mengundi," katanya.
Menurutnya lagi, ceramah dan kempen DAP di Bukit Gantang lebih mendapat sambutan kerana mereka memainkan isu perkauman.
Beliau berkata, di kawasan majoriti Cina, pemimpin MCA dan Gerakan yang diberi tanggungjawab untuk menjawabnya.

