Sidang Asean dikerumuni 'baju merah'
Ratusan penunjuk perasaan berkerumun di hadapan pintu masuk venue pengajuran Sidang Kemuncak Asean ke-14 dan sidang kemuncak berkaitan yang lain di Pattaya - bandar peranginan terkemuka di Thailand - tengah hari ini.
Selepas melumpuhkan Bangkok semalam, para penunjuk perasaan yang berpakaian baju T merah datang dengan pembesar suara yang diletakkan di atas lori menghalang jalan utama menuju ke Royal Cliff Beach Resort dalam satu cubaan untuk mengganggu sidang kemuncak berkenaan.
Penunjuk perasaan berbaju merah, yang berpihak kepada bekas perdana menteri digulingkan Thaksin Shinawatra, mendesak supaya Perdana Menteri sekarang, Abhisit Vejjajiva meletak jawatan, lapor
Bernama
.
Penunjuk perasaan yang menamakan gerakan mereka sebagai "Great Masses of the Red-Shirt People" (Gerakan Besar Rakyat Berbaju Merah) menyifatkan tindakan mereka sebagai sah di sisi undang-undang terhadap sebuah kerajaan haram.
Selain Bangkok, kumpulan penunjuk perasaan turut berdemonstrasi di 21 wilayah lain, kebanyakan di utara dan timur laut Thailand semalam.
Abhisit ketika ini berada di dalam hotel tetapi kehadiran penunjuk perasaan boleh menggendalakan sidang kemuncak berkenaan.
Kesemua 15 pemimpin negara asing dijangka tiba lewat hari ini.
Najib berlepas ke Pattaya
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas ke Pattaya, Thailand bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asean ke-14 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung selama tiga hari mulai hari ini.
Najib, yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, berlepas dengan menaiki pesawat khas kerajaan dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang pada jam 3.20 petang ini.
Turut mengiringi Perdana Menteri ke sidang kemuncak itu, yang akan berakhir Ahad ini, ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang baru Datuk Mustapa Mohamed.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek turut berada di lapangan terbang itu untuk mengucapkan selamat jalan kepada perdana menteri.
Ia merupakan lawatan pertama Najib ke luar negara setelah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 3 April lalu.
Pagi tadi, Najib menghadiri majlis angkat sumpah barisan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Semalam, Najib mengumumkan kabinet yang lebih kecil dianggotai 28 menteri dengan 25 kementerian, berbanding 32 menteri dengan 27 kementerian semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.
Sidang kemuncak yang bertemakan "Bersama Berusaha Menangani Cabaran Global" dijangka menjadi peristiwa penting dalam hubungan Asean dan rakan dialog selain memberi peluang kepada negara terlibat mengadakan perbincangan mengenai isu terkini, serantau dan antarabangsa.
Turut sama pada sidang kemuncak itu adalah Australia, China, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan.
Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan sejawatannya termasuk dari Australia, Brunei, Kemboja, China, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Thailand.

