Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhak menyuarakan

pandangannya mengenai apa yang beliau fikir menjadi punca kekalahan BN dalam dua pilihanraya kecil baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ong yang juga menteri pengangkutan, berkata: "Ini bukan bermakna yang saya bersetuju dengan kenyataan beliau bahawa orang Cina tidak tahu berterima kasih."

Dalam pilihanraya kecil baru-baru ini, BN kalah di kerusi Parlimen Bukit

Gantang di Perak dan kerusi DUN Bukit Selambau di Kedah tetapi mengekalkan kerusi DUN Batang Ai di Sarawak, lapor Bernama.

"Saya ingin mengulangi bahawa demi semangat demokrasi dan kebebasan bersuara, setiap orang berhak memberikan pandangan masing-masing.

"Saya bersetuju yang Tan Sri Muhyiddin Yassin berhak untuk menyuarakan pandangannya mengenai apa yang beliau fikir menjadi punca kekalahan BN dalam dua pilihanraya kecil baru-baru ini," kata Ong.

Beliau berkata, bagi dirinya, adalah menjadi tanggungjawab BN untuk membantu rakyat, sama ada semasa berkempen atau sebaliknya.

"Sepertimana yang saya katakan dalam blog saya semalam, isu tidak berterima kasih tidak timbul langsung," katanya dalam kenyataan yang dimuatkan dalam blognya www.ongteekeat.net hari ini.

"Hari ini, banyak akhbar dan portal Internet telah menyiarkan kenyataan timbalan perdana menteri yang menyebut nama saya. Saya telah menjelaskan pendirian saya mengenai perkara ini dalam blog saya semalam."

Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau telah berbincang dengan Ong mengenai perkara itu dan presiden MCA itu telah memberitahunya yang tiada apa yang salah dengan kenyataannya itu.

"Saya tidak akan biarkan diri saya masuk dalam perangkap yang dipasang oleh individu yang mahu mempergunakan dan melaga-lagakan saya dengan pemimpin negara tertentu. Keutamaan saya kini ialah untuk mendapatkan semula sokongan rakyat kepada BN dalam pilihanraya umum akan datang," kata Ong.

"Sokongan itu tidak akan dapat diraih hanya kerana kita memberikan habuan pilihanraya pada saat-saat akhir, tetapi melibatkan proses yang panjang untuk memenangi semula keyakinan dan kepercayaan rakyat," katanya.

Muhyiddin menafikan yang beliau menyifatkan orang Cina tidak berterima kasih dan sebaliknya menggesa media untuk tidak memanipulasikan kenyataan beliau dan sengaja menimbulkan isu untuk membuatkan rakyat marah kepadanya.