Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahrain nafi konspirasi jatuhkan Fairus
Diterbitkan:  Apr 17, 2009 5:48 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

PKR Pulau Pinang menafikan dakwaaan wujudnya konspirasi hendak menjatuhkan Mohammad Fairus Khairuddin sehingga beliau terpaksa berundur semua jawatan, termasuk ADUN Penanti.

Pengerusi perhubungannya Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata, tindakan bekas timbalan satu ketua menteri itu meletakkan jawatan atas keputusan peribadi setelah berbincang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, lapor Bernama .

"Saya tak tahu apa konspirasi yang dia maksudkan kerana selama ini perkara ini tidak pernah disebutkan dan setahu saya tiada sesiapapun nak buat jahat atau nak menjatuhkan dia.

"Dia yang ambil keputusan untuk letak jawatan kerana mahu sambung belajar tetapi bagaimana pula dia boleh kata ada konspirasi untuk menganiayainya.

"Saya tak faham, lagipun saya tidak fikir Anwar akan buat begitu

pada dia," katanya kepada kepada agensi berita itu.

Zahrain berharap semua pihak tidak membuat spekulasi buruk dan sebaliknya menghormati keputusan pemimpin muda itu.

Beliau turut menegaskan bahawa keputusan dan tindakan Mohammad Fairus itu langsung tidak melibatkan pucuk pimpinan PKR negeri dan yakin tindakan ADUN itu tiada kaitan dengan dakwaan wujud masalah

dalaman parti itu.

Ditanya mengapa Mohammad Fairus seolah-olah membelakangkan pemimpin negeri dan berurusan secara langsung dengan penasihat PKR, beliau berkata:

"Mungkin dia lebih selesa dengan Anwar, saya tidak tahu."

Zahrain diminta mengulas pendedahan Mohammad Fairus kepada sebuah akhbar berbahasa Cina sehari sebelum mengumumkan keputusannya mengosongkan kerusi DUN itu - mendakwa beliau diperangkap oleh orang dalam partinya sendiri.

Menurut akhbar itu, Mohammad Fairus mahu PKR membela dan membersihkan namanya daripada pelbagai dakwaan yang mengaitkan namanya dengan operasi kuari di negeri ini dan akan mendedahkan "cerita dalaman" berkaitan dengan operasi gabungan pembangkang itu.

ADS