MB T'ganu batal lawatan ke luar negeri
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said telah membatalkan lawatannya ke Russia dan Ukraine yang dijadualkan bermula hari ini.
Tiada penjelasan rasmi diberikan tetapi ia dipercayai ada kaitan dengan kemelut politik di Terengganu sekarang, demikian menurut
NST online.
Berikutan itu, delegasi tersebut kini akan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.
Ahmad sepatutnya mengetuai delegasi 16 anggota itu untuk mendapatkan tempat di beberapa universiti di Russia dan Ukraine bagi pelajaran tajaan kerajaan negeri dalam jurusan kedoktoran.
Beliau juga dijadualkan bertemu dengan pelajar Malaysia di kedua-kedua negara tersebut.
Kemelut terbaru itu tercetus apabila 10 ADUN BN tidak menghadiri sidang DUN minggu lalu setelah tiga daripada mereka menerima SMS berupa ugutan.
Bagaimanapun, mereka menyertai semula pada hari terakhir Rabu lalu atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dan hari ini, Setiausaha Kelab Penyokong BN Terengganu, Alias Abdullah memberitahu
Malaysiakin
i bahawa 18 daripada 24 ADUN BN Terengganu kini dipercayai menyokong kumpulan yang mendesak menteri besar meletakkan jawatan.
Menurutnya, ADUN terbaru menyertai kumpulan mereka termasuklah beberapa exco kerajaan negeri.
"Bagaimanapun, saya tidak dapat mendedahkan nama-nama exco terbabit untuk menjaga kedudukan mereka sekarang," katanya kepada Malaysiakini .
Berikutan tambahan sokongan tersebut, Alias yang juga ADUN Alor Limbat berkata, majoriti ADUN BN Terengganu mahu Ahmad meletak jawatan.
Sehubungan ini, Alias menegaskan, pihaknya percaya pucuk pimpinan tertinggi parti akan membuat keputusan yang terbaik untuk kepentingan rakyat dan negeri Terengganu.

