Polis: Dadah 'tidak mungkin' RM1 bilion
Ketua polis negara menafikan dadah jenis syabu yang ditemui dalam sebuah kontena di Jalan Kuantan-Segamat dekat Rompin, Pahang, semalam bernilai sehingga RM1 bilion seperti dilaporkan.
Bagaimanapun, kata Tan Sri Musa Hassan, nilai sebenar rampasan itu tidak dapat dipastikan.
"Ikut anggaran, tidak mungkin RM1 bilion," katanya kepada Bernama hari ini.
Berita Harian hari ini melaporkan dadah itu "mampu mencecah nilai hampir RM1 bilion pada harga pasaran semasa", sementara Utusan Malaysia menganggarkan RM200 juta.
Musa berkata polis sedang menyiasat dari mana bekalan dadah seberat 900 kg itu diperoleh.
"Tiga suspek yang ditahan semalam sememangnya dikehendaki polis berhubung beberapa kes dadah," Musa dipetik berkata.
Pada 6 pagi semalam, polis menahan tiga lelaki berusia antara 30 dan 50 tahun dan merampas sebuah kontena berisi 10 tong ketulan kristal dadah jenis syabu.
Ketua Polis Pahang Datuk Robiah Abdul Ghani berkata polis negeri itu sedang melengkapkan siasatan.
"Satu sidang media akan diadakan pada Rabu ini," katanya.

