S'gor lancar kempen 'bebaskan Mano'
Selangor menganjurkan kempen tandatangan bagi mendesak pembebasan ADUN Kota Alam Shah, M Manoharan, daripada kurungan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Pemimpin Hindraf itu kini sedang menimbang untuk mengosongkan kerusinya dengan alasan gagal berkhidmat untuk rakyat kawasannya.
Kempen itu juga bertujuan mendesak pembebasan 27 lagi tahanan bawah akta kontroversi itu.
Exco kerajaan Selangor, Teresa Kok berkata, kempen 17 hari yang dilancarkan hari ini, antaranya bertujuan membuktikan bahawa pengundi Kota Alam Shah sentiasa berdiri teguh di belakang wakil rakyatnya.
Bercakap dalam sidang media di Shah Alam, ADUN Kinrara itu menambah, petisyen dalam talian itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Hussein melalui peguam Manoharan, Karpal Singh.

