Umno Pulau Pinang tetap membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya kecil Penanti walaupun keputusan muktamadnya akan diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN Isnin ini.

"Umno negeri tetap mengadakan persediaan bagi menghadapi kemungkinan kita bertanding," kata ketua badan perhubungan Umno negeri itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

gerakan umno zahid hamidi penang penanti pc 150509 01 Beliau memberitahu pemberita demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama badan perhubungan itu malam tadi.

Sebelum ini, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak membayangkan kemungkinan BN tidak akan bertanding di Penanti kerana beranggapan pilihanraya kecil itu hanya membazir wang rakyat.

Kerusi tersebut kosong ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Mohd Fairuz Khairuddin pada 16 April lalu.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin Umno, termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat BN perlu bertanding supaya dianggap takut berdepan dengan pembangkang.

Manakala Dewan Tertinggi BN akan bermesyuarat Isnin ini untuk memutuskan sama ada BN akan bertanding atau tidak di Penanti.

Hubungan dengan Gerakan

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan 23 Mei ini sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 31 Mei depan.

Manakala timbalan pengerusi PKR Pulau Pinang, Mansor Othman telah dinamakan sebagai calon parti itu dalam pilihanraya kecil tersebut.

Sementara itu, mengenai hubungan Umno Pulau Pinang dengan Gerakan, Ahmad Zahid menyifatkan ia dalam keadaan baik dan perbincangan telah diadakan dengan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon serta pemimpin BN negeri yang lain.

"Umpama carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga...kita dalam satu keluarga, itu perkara biasa dan semua parti pun menghadapi masalah yang sama juga," katanya, lapor Bernama.

gerakan umno zahid hamidi penang penanti pc 150509 02 Dalam sidang akhbar tersebut, beliau turut mengumumpan penubuhan dua sekretariat serta lima jawatan baru untuk mengukuhkan perjuangan parti itu di peringkat negeri.

Katanya, dua sekretariat itu ialah Pengaduan dan Kebajikan Awam serta Sekretariat Latihan yang masing-masing diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) iaitu Azlina Mehtab Ishaq dan Datuk Abdul Latif Mirasa.

Katanya, lima jawatan baru pula ialah Penolong Setiausaha, Zulkifli Yahaya, Setiausaha Eksekutif 1, Ramlan Ishak, Setiausaha Eksekutif 2, Ahmad Sahar Shuib, penolong bendahari, Datuk Mohd Salim Abdul Bari dan pegawai khas kepada pengerusi perhubungan, Datuk Nordin Mohd Noor.

Pasukan baru

Ahmad Zahid juga mengumumkan pelantikan beberapa anggota jawatankuasa badan itu.

Datuk Zainal Abidin Osman dipilih sebagai Timbalan Pengerusi badan itu manakala Datuk Azhar Ibrahim kekal sebagai Setiausaha perhubungan, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Bendahari), Datuk Musa Sheikh Fadzir (Ketua Penerangan) dan Raja Munir Raja Mustapa sebagai timbalan ketua penerangan.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno, pengekalan Azhar dan Musa dalam pasukan baru ini dibuat berdasarkan komitmen dan keperluan untuk meneruskan tugas dan tanggungjawab sebelum ini.

Katanya, penubuhan dua sekretariat itu pula adalah antara usaha parti untuk mendekatkan diri dengan rakyat bagi membolehkan sebarang masalah disalurkan kepada parti dan diselesaikan dengan baik.

Menurutnya, latihan juga akan diberi kepada semua kepimpinan parti di peringkat perhubungan, bahagian dan cawangan untuk mengukuhkan jentera Umno negeri.

Beliau juga menetapkan bahawa mesyuarat badan perhubungan itu akan diadakan pada setiap Jumaat minggu keempat setiap bulan secara bergilir di semua 13 bahagian bagi mengukuhkan hubungan anggota parti.

"Saya mahu semua 13 bahagian Umno di negeri ini menumpukan kepada penganjuran aktiviti yang mendekatkan diri dengan rakyat dan prihatin kepada keperluan mereka tanpa mengira kaum manakala program berbentuk infrastruktur dan perniagaan hendaklah diketepikan," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan mahu semua bahagian Umno di negeri ini menyelesaikan masalah dalaman mereka lebih awal dan beliau akan bertemu dengan semua ketua cawangan termasuk sayap-sayap parti bagi membincangkan mengenai perkara itu.