Tiga lagi siswa UM dicari polis

       

kemakini 11.36pm Polis menjejaki tiga lagi suspek kes contengan perkataan-perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding sebuah dewan Universiti Malaya selepas dua pelajar diseret ke mahkamah hari ini.

Selain menceroboh dewan utama Akademi Pengajian Islam awal pagi 24 Jun lalu, siasatan juga berhubung simbahan petrol di permaidani merah yang bakal dilalui isteri perdana menteri Rosmah Mansor untuk satu program di dewan tersebut.

rosmah mansor and universiti malaya Seorang pegawai penyiasat memberitahu Malaysiakini petang ini, polis mencari tiga pelajar yang dikenali sebagai Munir, Saufi dan Aizat untuk membantu siasatan kes tersebut.

"Polis telah mengenal pasti tiga suspek berkenaan dan masih dalam pencarian. Polis juga minta mereka menyerah diri," kata pegawai polis Brickfields itu, yang enggan dikenali.

Kejadian itu berlaku beberapa jam sebelum dewan tersebut digunakan oleh isteri Datuk Seri Najib Razak untuk program derma kanak-kanak Palestin, jam 9 pagi Rabu lalu.

Walaupun enggan memberikan nama penuh mereka, polis dipercayai mencari presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani - kedua-duanya dipercayai pelajar akademi Islam.

Jam 3 petang tadi, dua pelajar Akademi Pengajian Islam dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.

Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli juga dihadapkan bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara. Kesalahan itu juga boleh didenda, jika disabitkan.

rosmah grafiti caricarture universiti malaya 300609 Kesalahan-kesalahan tersebut dipercayai dilakukan oleh lima orang, termasuk dua menconteng (foto: perkataan telah dipadamkan) , dua mengawasi kawasan sekeliling sewaktu kejadian dan seorang lagi dianggap dalang perbuatan itu, kata pegawai polis tersebut.

Geledah rumah wanita

Mohd Izzuddin ditahan 4 pagi Rabu lalu, kira-kira lima jam sebelum kunjungan wanita pertama negara untuk menutup kempen derma 'Power of 10 Sen: Gaza Dibela'.

Sementara rakannya Mohd Syahruldeen pula ditahan tengah hari keesokannya di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur, kata pegawai penyiasat itu lagi.

Kedua-dua pelajar tersebut kini ditahan di penjara Sungai Buloh sementara menunggu diikat jamin masing-masing RM5,000 esok.

Susulan siasatan terhadap kes tersebut, polis menggeledah empat rumah pelajar, termasuk sebuah yang disewa wanita - demikian dinyatakan exco kerohanian Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM) Mohd Aizat Mohd Salleh.

Pada 26 Jun, sebuah rumah pelajar wanita di Seksyen 17 Petaling Jaya digeledah kira-kira sejam oleh empat anggota polis berpakaian biasa.

Polis merampas cat yang digunakan untuk mewarna kain pemidang bagi menyambut kedatangan pelajar baru, Ahad lalu.

Keesokannya, polis menggeledah sebuah rumah pelajar lelaki di Seksyen 17 Petaling Jaya pada sebelah petang. Tiada rampasan dibuat.

Hujung minggu minggu, jam 3 pagi, sebuah lagi rumah pelajar di Seksyen 17 Petaling Jaya didatangi tiga anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor dengan membawa Mohd Izzuddin dan Mohd Syahruldeen dalam keadaan bergari dengan berbaju tahanan lokap.

Tiada waran

Kumpulan polis yang sama dengan dua suspek kemudian ke rumah pelajar lelaki di Seksyen 14 Petaling Jaya, kira-kira 3.30 pagi. Mereka berada lebih kurang setengah jam.

Mereka selepas itu ke rumah sewa lelaki Seksyen 17 Petaling Jaya, bagi kali kedua sejak 27 Jun lalu, lebih kurang jam 4 pagi.

Tiada rampasan di ketiga-tiga rumah tersebut.

Polis juga tidak menunjukkan sebarang waran geledah di semua rumah terbabit, kata Mohd Aizat lagi ketika diihubungi Malaysiakini .

rosmah mansor and anti rosmah videos Rosmah sering dikaitkannya dengan Altantuya Shaariibuu, wanita Mongolia yang mati dibunuh menggunakan bom plastik C4.

Beliau bagaimanapun menafikannya.

Sementara label "puaka" dipercayai ada kaitan dengan tiga klip video di internet yang melemparkan pelbagai tuduhan, termasuk melupakan adik angkat dan anak sendiri, selain kampung halamannya .

Rosmah atau Najib setakat ini belum memberikan sebarang ulasan.

Bagaimanapun beberapa laman web pro-Umno menafikannya. Malaysia Instinct mendakwa bercakap dengan Rosmah dan beliau menafikan pernah mengabaikan anaknya Azrene Soraya Abdul Aziz - daripada perkahwinan awal sebelum Najib.

Malaysiakini
terkini untuk anda