Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 11.27pm Gara-gara didakwa menconteng perkataan- perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Rosmah Mansor, dua pelajar Universiti Malaya dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli dituduh bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.

Selain menconteng, mereka juga dituduh menyimbah petrol di permaidani merah beberapa jam sebelum dilalui oleh isteri Datuk Seri Najib Razak, pagi Rabu lalu.

rosmah mansor and universiti malaya Dua pelajar Akademi Pengajian Islam itu juga dituduh bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara. Kesalahan itu juga boleh didenda, jika disabitkan.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan hakim Rosbiahanim Arifin.

Seorang pegawai penyiasat memberitahu Malaysiakini petang ini, kedua-dua pelajar itu dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 3 petang tadi.

Tiga suspek dicari

Kesalahan-kesalahan tersebut dipercayai dilakukan oleh lima orang, termasuk dua menconteng, dua mengawasi kawasan sekeliling sewaktu kejadian dan seorang lagi dianggap dalang perbuatan itu, kata pegawai polis tersebut yang enggan dikenali.

Polis sedang mencari tiga lagi suspek , termasuk presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) Shazni Munir Mohd Ithnin.

Mohd Izzuddin ditahan 4 pagi Rabu lalu, hari lawatan wanita pertama negara untuk menutup kempen derma 'Power of 10 Sen: Gaza Dibela' bagi anak-anak Palestin di dewan utama Akademi Pengajian Islam (foto: perkataan telah dipadamkan) .

rosmah grafiti caricarture universiti malaya 300609 Sementara rakannya Mohd Syahruldeen pula ditahan keesokannya di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur, kata pegawai penyiasat itu lagi.

Kedua-dua pelajar kini ditahan di penjara Sungai Buloh sementara menunggu diikat jamin RM5,000 setiap seorang esok.

Timbalan pendakwaraya Mazelan Jamaludin asalnya meminta jaminan RM10,000 seorang untuk semua pertuduhan, termasuk Seksyen 447 kanun yang sama atau kesalahan menceroboh.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum enam bulan penjara atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.

Nombor motosikal sukar dilihat

Peguam kedua-dua tertuduh Mohamed Arfizi Mohd Ramli memohon jumlah tersebut dikurangkan kepada RM4,000 kerana kedua-duanya dari keluarga berpendapatan sederhana dan juga masih belajar.

Rosbiahanim menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kes itu.

Mohd Izzudin dan Mohd Syahruldeen sebelumnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur terhadap pertuduhan menunggang motosikal bernombor pendaftaran yang sukar dilihat.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di tempat letak kereta di fakulti yang sama pada tarikh dan masa yang sama menurut Seksyen 14(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan dan boleh dihukum denda maksimum RM3,000.

Majistret Hafizza Sauni membenarkan masing-masing diikat jamin RM500 dan menetapkan 13 Julai bagi sebutan semula kes.

Menurut laporan Bernama malam ini, kedua-dua tertuduh terpaksa bermalam di penjara kerana kaunter pembayaran jaminan telah ditutup berikutan prosiding mahkamah berakhir 5.30 petang.

Susulan siasatan terhadap kes tersebut, polis menggeledah empat rumah pelajar universiti tersebut, termasuk sebuah yang disewa wanita.

rosmah mansor and anti rosmah videos Rosmah sering diburuk-burukkan dengan label nama wanita Mongolia yang mati dibunuh menggunakan bom plastik C4. Beliau bagaimanapun menafikannya.

Sementara label liar "puaka" dipercayai ada kaitan dengan tiga klip video di internet yang melemparkan pelbagai tuduhan, termasuk melupakan adik angkat dan anak sendiri, selain kampung halamannya .

Rosmah atau Najib setakat ini belum memberikan sebarang ulasan.

Bagaimanapun beberapa laman web pro-Umno menafikannya. Satu laman web Malaysia Instinct mendakwa bercakap dengan Rosmah dan beliau menafikan pernah mengabaikan anaknya Azrene Soraya Abdul Aziz - daripada perkahwinan awal sebelum Najib.

Sewaktu dihubungi Malaysiakini hari ini, seorang pegawai Universiti Malaya berkata pihaknya tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan setakat ini.

"Biarkan polis kendalikan kes ini," demikian arahan yang diterima beliau, yang enggan dinamakan.

ADS