Muhyiddin nafi perkecil peraih, penjual ikan
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau memperkecilkan profesyen peraih dan penjual ikan tetapi sebaliknya menghormati dan menjaga kebajikan golongan tersebut.
"Bila saya perkecilkan penjual ikan? Dulu sebagai menteri pertanian (dan industri asas tani), saya memang jaga orang yang menjual ikan ini.
"Baik penangkap ikan, nelayan dan peraih ikan, mereka ada peranan.
"Saya cuma sebut, calon kita ini bukan penjual ikan, betul tak? Itu saja, kita bukan perkecilkan, kita hormat beliau (calon PAS Mohd Fauzi Abdullah)," katanya.
Muhyiddin menegaskan demikian dalam ceramah BN di Manek Urai Lama malam tadi di hadapan kira-kira 200 penyokong BN.
Semalam, penasihat jentera pilihanraya PAS Kelantan, Datuk Wan Abdul Raim Wan Abdullah berkata, pemimpin Umno dalam ceramahnya telah memperlekehkan profesyen peraih ikan. Calon PAS Fauzi merupakan peraih ikan di sekitar Kuala Krai.
Ekoran itu, Wan Abdul Rahim dilaporkan berkata, peraih dan peniaga ikan sekitar Kelantan akan mengadakan perhimpunan di pasar Laloh bagi membantah kenyataan itu petang esok.
Ulas pemansuhan PPSMI
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, walaupun boleh memilih pemimpin yang tiada ilmu, tetapi lebih baik diutamakan pemimpin yang mempunyai lebih ilmu pengetahuan.
Beliau yang juga menteri pelajaran turut mengulas pelaksaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan dimansuhkan mulai 2012.
Menurutnya, kerajaan membuat keputusan "balik semula" memartabatkan bahasa Melayu setelah berbincang dan mendengar pelbagai pandangan.
Bagaimanapun, katanya, terdapat juga pihak yang tidak suka dengan keputusan itu kerana berpendapat penguasaan bahasa Inggeris amat penting.
Selain itu, ceramah BN malam tadi dilihat cuba menitikberatkan soal agama apabila bacaan al-Quran dipasang sebelum ceramah bermula pada jam 10 malam tadi.
Muhyiddin juga dalam ceramahnya, membaca beberapa petikan al-Quran bagi menyokong hujahnya.
Selepas membaca sebuah ayat mengenai kepentingan ilmu pengetahuan, Muhyiddin semalam sempat berseloroh:"Ambo (saya) tahu juga baca ayat al-Quran, tidaklah pandai macam Tok Guru (Nik Aziz), tetapi tidak kurang tahu."

