Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kpg Buah Pala: K'jaan negeri buat laporan polis
Diterbitkan:  Jul 11, 2009 6:30 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis berhubung isu pengambilalihan tanah di Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor.

Laporan itu dibuat oleh ADUN Komtar, Ng Wei Aik di ibu pejabat polis daerah Timur Laut kira-kira jam 1.20 petang.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Ng yang juga setiausaha politik kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata ia dibuat bagi meminta pihak polis menyiasat dengan teliti proses penjualan tanah di kampung tersebut, lapor Bernama.

"Ini merupakan persoalan yang besar, sama ada sesetengah pihak mempunyai kepentingan sendiri apabila memberikan kelulusan terhadap penjualan tanah tersebut," katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang antara lain mendakwa kerajaan negeri terdahulu yang ditadbir BN, telah menjual tanah di kampung tersebut yang kebanyakannya diduduki penternak lembu, dengan harga yang murah kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang.

"Walaupun pemberian milik tanah ini (kepada koperasi) adalah sebagai ganti kepada tapak tanah bersebelahan dengan Dewan Sri Pinang untuk pembinaan bangunan tambahan mahkamah, namun kami mendapati kelulusan ini diberi tanpa merujuk kepada laporan penilaian nilai pasaran kedua-dua bidang tanah itu," kata Ng.

Isu Kampung Buah Pala timbul apabila penduduknya terpaksa mengosongkan tanah yang mereka duduki selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka untuk terus tinggal di kawasan itu yang telah dihuni mereka sejak sekian lama.

ADS