Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sasaran pentadbiran Najib pada 2012
Diterbitkan:  Jul 27, 2009 11:33 AM
Dikemaskini: 7:16 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), termasuk membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, dan memerangi rasuah.

Bidang-bidang lain termasuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam

jangka masa sederhana.

"Saya ingin mengisytiharkan bahawa bagi setiap NKRA, seorang menteri akan dilantik sebagai 'lead minister' atau menteri pimpinan bagi menerajui NKRA yang ditetapkan," katanya ketika berucap di majlis Perdana Menteri Bersama Anggota Pentadbiran dan penjawat Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, lapor Bernama.

Menurutnya bagi NKRA untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran), manakala bagi mengurangkan kadar jenayah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri), dan NKRA memerangi rasuah, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Bagi NKRA tingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula menterinya ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), dan menambah baik pengangkutan awam, menterinya ialah Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan).

Kurang jenayah jalanan

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan menetapkan sasaran pengurangan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus pada penghujung tahun 2010.

Katanya, kerajaan memandang serius isu pencegahan jenayah dan meletakkan keutamaan pada usaha pengurangan kadar jenayah sebagai satu daripada Bidang Hasil Utama Negara (NKRA) di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Najib berkata, NKRA pengurangan jenayah dipecahkan kepada tiga bahagian, satu daripadanya ialah jenayah jalanan seperti curi ragut dan samun tanpa senjata, kerana didapati ia mendatangkan trauma dan ketakutan kepada ahli keluarga dan juga masyarakat umum.

Katanya statistik menunjukkan jenayah kategori ini bukanlah enteng kerana ia merupakan 17 peratus daripada keseluruhan indeks jenayah 2008 manakala

tempat tumpuan jenayah jenis ini terdapat di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor, yang mencatat sebanyak 72 peratus daripada jumlah keseluruhan jenayah jalanan tahun lepas.

"Oleh itu, kerajaan menetapkan sasaran pengurangan jenayah jalanan ini sebanyak 20 peratus pada penghujung 2010," katanya.

Kedua, kata perdana menteri, ialah menambah baik persepsi rakyat terhadap keselamatan awam, dan untuk itu, pasukan-pasukan sukarela terutamanya RELA akan dikemaskini dan diberi latihan secukupnya secara lebih teratur termasuk penyeragaman uniform supaya mereka dapat dilibatkan bersama anggota polis dalam usaha membenteras jenayah jalanan.

Balai-balai polis yang berkaitan akan dinaik taraf manakala peralatan-peralatan yang diperlukan akan turut ditambah. Selain itu, langkah-langkah pengawalan dan pencegahan akan ditingkatkan lagi dengan menambah peralatan kamera litar tertutup.

Usaha perangi rasuah

Perdana Menteri berkata untuk meningkatkan prestasi agensi penguatkuasaan pula, Kementerian Dalam Negeri akan berkerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji cara-cara mempercepatkan proses perundangan terhadap kes-kes tertangguh misalnya dengan mewujudkan tribunal atau mahkamah khas bagi jenayah jalanan.

Mengenai Indeks Prestasi Utama (KPI), Najib berkata dalam usaha memerangi rasuah, Perdana Menteri berkata gejala itu perlu dibendung sebelum ianya menjadi barah.

Merujuk kepada ranking oleh Transparency International mengenai persepsi rasuah

yang meletakkan Malaysia pada tangga 47 tahun lalu, berbanding pada kedudukan 39 pada 2004, beliau berkata untuk memastikan persepsi kedudukan dan ranking Malaysia bertambah pulih pada masa hadapan, kerajaan beriltizam mengemaskini polisi, prosedur dan penguatkuasaan yang berkaitan.

Dalam meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan pula, Perdana Menteri berkata kerajaan akan memberi keutamaan untuk menyediakan pendidikan terbaik bermula daripada peringkat asas, iaitu peringkat prasekolah.

Untuk itu, katanya, pendidikan prasekolah akan dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.

"Suka atau tidak, adalah amat merugikan kerana terdapat kanak-kanak yang pergi ke sekolah dan masih tidak menguasai kemahiran membaca atau menulis apabila meninggalkan bangku pengajian.

"Maka, bagi menangani kemelut ini, saya telah menetapkan supaya semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum penghujung 2012," kata Najib.

Sekolah ditawar ganjaran

Beliau berkata kerajaan juga akan menawarkan satu ganjaran atau satu Bai'ah baru kepada semua pengetua dan guru besar sekolah rendah dan menengah dengan memberi ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

Selain itu sebagai projek perintis, 100 sekolah jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, sekolah berpiagam dan sekolah berasrama penuh, akan dikenal pasti untuk diangkat menjadi Sekolah

Berprestasi Tinggi.

"Dengan ini kita akan menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran yang kondusif serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memacu lagi pencapaian pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun sebelum penamat 2012," katanya.

Najib juga mengumumkan bahawa bermula Januari 2010, semua bantuan kebajikan untuk rakyat akan dibayar pada setiap 1 haribulan bagi bulan berkenaan di bawah NKRA meningkatkan taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah.

Kerajaan juga telah menetapkan matlamat untuk menambah lagi jumlah usahawan dalam kalangan wanita kepada seramai 4,000 orang menjelang 2012 melalui program Amanah Ikhtiar Malaysia.

Sehingga Jun 2009, seramai 717 wanita telah dikenal pasti berpotensi untuk dibimbing menjadi usahawan dalam program itu, katanya.

Jalan luar bandar diturap

Dalam memperkasa prasarana luar bandar dan pendalaman, Perdana Menteri berkata menjelang tamatnya 2010, sepanjang 750km jalan luar bandar dirancang siap dibina di Sabah dan Sarawak, dan jumlah ini akan ditambah lagi kepada 1,500 atau dua kali ganda daripada perancangan awal.

"Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM4 bilion dan akan siap terlaksana sebelum penamat 2012. Jalan-jalan yang akan dibina terdiri daripada tiga kategori iaitu jalan berturap, jalan kerikil dan jalan tanah yang akan memberi kemudahan perhubungan serta faedah kepada kepada hampir dua juta

penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak," kata Najib.

Bagi Semenanjung Malaysia pula, liputan rangkaian jalan luar bandar akan dipertingkatkan bagi memastikan "kesemua rakyat tinggal paling jauh pun" 5km dari kemudahan jalan berturap.

"Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM1 bilion dan bermakna jumlah

peruntukan yang diperlukan bagi penyediaan infrastruktur asas sehingga 2012 adalah sebanyak RM5 bilion," kata Najib, yang juga Menteri Kewangan.

Mengenai bekalan air bersih di Sabah dan Sarawak, beliau berkata tindakan segera akan diambil untuk meningkatkan liputan bekalan air sehingga 90 peratus di kedua-dua negeri itu menjelang akhir 2012 dan untuk tujuan itu sejumlah RM2 bilion diperuntukkan bagi kemudahan 60,000 isi rumah.

Tingkat bekalan elektrik

Najib berkata memandangkan pada masa ini liputan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak juga masih rendah iaitu masing-masing sekitar 80 peratus berbanding 99 peratus di Semenanjung, kerajaan bermatlamat untuk meningkatkan liputan bekalan elektrik di kedua-dua negeri tersebut kepada 95 peratus pada akhir tahun 2012.

"Sejumlah RM3.9 bilion akan diperuntukkan untuk tujuan ini yang akan membawa nikmat kepada 80,000 buah rumah. Kerajaan juga menyasarkan untuk memberi bekalan elektrik 24 jam kepada 7,000 rumah Orang Asli di Semenanjung pada akhir 2012," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga berhasrat untuk menyediakan kemudahan kediaman lebih selesa kepada golongan miskin dan miskin tegar dengan membina dan membaik pulih sejumlah 50,000 buah unit rumah bagi keperluan golongan itu sehingga penghujung 2012 di seluruh negara.

Mengenai pengangkutan awam, Najib berkata mengikut statistik Kementerian Pengangkutan, pada masa ini hanya 16 peratus daripada penduduk Lembah Klang menggunakan sistem pengangkutan awam.

"Makanya, kerajaan menyasarkan bahawa peratus ini ditingkatkan lagi kepada 25 peratus pada penghujung 2012. Namun, kita semua harus menyedari untuk meningkatkan peratus ini, ia melibatkan pelbagai pelaburan yang besar, mampan dan berjangka panjang.

"Walau apapun buat langkah permulaan, saya mengumumkan menjelang penghujung 2012, tambahan 35 set '4-car-train' akan beroperasi untuk laluan LRT Kelana Jaya," katanya..

ADS