Tiada tanda operasi perobohan di Kpg Buah Pala
Kira-kira 300 orang berhimpun menyokong penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang ekoran hari ini merupakan tarikh akhir mereka diminta berpindah dari situ.
Antara mereka yang hadir ialah dari Hindraf, MIC, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan NGO Jerit.
Sehingga ini, tiada kelihatan sebarang tanda-tanda akan berlakunya operasi perobohan rumah penduduk di situ.
Menurut wartawan di situ, tidak kelihatan jentolak, anggota polis mahu pun penguatkuasa majlis bandaraya Georgetown.
Hari ini merupakan tarikh akhir perintah penduduk Kampung Buah Pala berpindah dari kawasan tersebut yang akan dimajukan dengan projek kondominium mewah - the Oasis - oleh syarikat Nusmetro Venture.
Pihak pemaju telah memberi tempoh kepada penduduk di situ sehingga 3 Ogos untuk berpindah sebelum 20 buah rumah di situ dirobohkan untuk memulakan projek tersebut.
Bagaimanapun, minggu lalu, kerajaan negeri Pulau Pinang telah membatalkan kebenaran untuk memajukan kawasan tersebut dan tidak jelas sama ada pihak pemaju akan meneruskan tindakan memindahkan penduduk di situ esok.

