Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Soi Lek sekali lagi jadi tumpuan...
Diterbitkan:  Aug 9, 2009 1:59 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Walaupun mempunyai reputasi sebagai ahli politik yang bijak, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kini menjadi tumpuan sekali lagi ketika bergelut untuk terus kekal di dalam parti.

Minggu ini, ianya seperti deja vu bagi Dr Chua yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Kesihatan berikutan pembabitannya dalam skandal seks video pada akhir 2007, sekali lagi akan mempertahan dirinya berhubung isu yang sama dan kali ini berdepan dengan panel disiplin MCA.

NONE Ahli politik yang dilahirkan di Batu Pahat itu dengan tegas mempertikai keadaan itu kerana ia seakan-akan untuk menjatuhkan hukuman ke atasnya sebanyak dua kali dan menegaskan bahawa beliau telah meletakkan jawatan Kabinet dan semua jawatan dalam parti selepas isu itu timbul, lapor Bernama.

Para penyokongnya menyifatkan bahawa keputusan Lembaga Disiplin MCA untuk menyiasat kes itu, setahun enam bulan selepas itu, sebagai satu rancangan oleh pesaing dalam parti itu untuk "menamatkan riwayatnya".

Secara mudah, jika Dr Chua didapati bersalah mencemarkan imej parti, ia menandakan berakhirnya masa depan beliau dalam parti yang mewakili kaum Cina terbesar di negara ini dan rakan komponen kedua terbesar dalam gabungan BN.

Dr Chua, yang mengaku bahawa beliau merupakan lelaki yang ditonjolkan di dalam video seks itu, berkata dengan meletak jawatan, beliau telah mengambil tanggungjawab dan sejak itu muncul semula.

Tambahan pula, katanya, MCA telah membenarkan beliau untuk bertanding jawatan Nombor Dua dalam parti Oktober lepas dan sepanjang tempoh penamaan dan berkempen, tiada bantahan dibangkitkan berhubung pencalonannya.

Pertandingan tiga penjuru

Beliau menang, dan keputusan itu dianggap sebagai satu petunjuk bahawa perwakilan parti telah memaafkannya dan mahukan beliau untuk terus bersama di dalam parti itu. Tetapi, sebahagian anggota parti melihat keadaan itu sebaliknya.

"Kebanyakan kami mengundi untuk Dr Chua kerana beliau merupakan pilihan terbaik yang kami ada ketika itu. Itu tidak bermakna kami menyokong beliau sepenuhnya," kata seorang pemimpin bahagian dari Selangor.

Dalam pertandingan empat penjuru itu adalah Dr Chua, Setiausaha Agung parti ketika itu Datuk Seri Ong Ka Chuan, naib presiden ketika itu Donald Lim Siang Chai dan seorang pemimpin bahagian dari Pulau Pinang, Lee Hack Teik.

Pemimpin bahagian dari Selangor pula berkata suka atau tidak, Dr Chua perlu faham bahawa skandal seks akan sentiasa menghantui seseorang ahli politik selama mana dia kekal menjadi perhatian.

"Sebab itu, sesetengah daripada mereka bersara selepas itu. Cuba lihat apa yang berlaku kepada Senator Paul Stanley dari Tennessee yang terpaksa meletak jawatan selepas tertangkap dalam skandal seks," katanya.

"Perkataan di sini ialah tertangkap. Tidak disangsikan sesetengah ahli politik juga melakukannya, tapi mereka tidak tertangkap. Sekali anda tertangkap, anda boleh ucapkan selamat jalan kepada karier politik. Jika seseorang itu bukan seorang ahli politik, tiada siapa yang peduli," katanya.

Seorang pengulas politik terkenal Datuk Cheah See Kian bersetuju.

"Selama mana beliau masih dalam politik, beliau akan terus dihambat dengan keadaan ini. Anda tidak boleh mengetuai sebuah parti politik, lebih-lebih lagi parti komponen Barisan Nasional dengan latar belakang sedemikian.

Pengaruh kuat di Johor

"Ia bukan sesuatu perkara yang mudah bagi rakyat untuk menerimanya. Tiada alternatif lain bagi beliau kecuali untuk berdiam diri tetapi di dalam politik, perkara itu adalah mustahil," katanya.

Cheah percaya bahawa jika Dr Chua memasang hasrat bagi jawatan presiden, keputusannya mungkin berbeza.

Sesetengah pemimpin akar umbi juga tidak gembira, mereka berpendapat Dr Chua telah melangkau parti dan melobi untuk dilantik sebagai penyelaras BN bagi negeri-negeri yang diperintah pembangkang, seolah-olah beliau seorang pemimpin parti.

Seorang pemimpin akar umbi dari Puchong Thean Bok yang tidak bersetuju dengan pandangan itu pula berkata perkara itu timbul kerana Dr Chua telah dipinggirkan di dalam MCA dan tidak diberikan peluang untuk berkhidmat.

"Dr Chua mempunyai pengaruh yang kuat di Johor dan tempat-tempat lain. Anda tidak boleh endahkan perkara itu bahawa mesti ada semacam tolak ansur. Apa yang berlaku sekarang menyamai pepatah China yang menyebut seperti mencari ulat di dalam telur," katanya.

Masa depan Dr Chua di dalam parti kini berada di dalam tangan lembaga disiplin parti yang diketuai Ng Cheng Kiat, seorang personaliti yang dikenali berpegang teguh dengan prinsipnya.

"Beliau perlu berhati-hati dengan apa yang dikatakannya sebelum dan sekarang. Pada masa ini, nampaknya semua kemungkinan tidak menyebelahinya, jadi beliau perlu berhati-hati," kata seorang orang dalam parti.

Lembaga disiplin tidak memberikan petanda bila keputusan akan diumumkan. Selepas menghabiskan hampir sepertiga daripada hidupnya dalam politik, doktor perubatan itu hanya boleh menunggu untuk melihat sama ada masih ada penyelesaian bagi masalahnya di dalam MCA.

ADS