Kesemua buku elektronik atau e-Book yang diagih kepada murid Tahun Lima di Terengganu dilengkapi dengan sistem anti-pornografi bagi mengelak ia disalahgunakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata dengan adanya perisian yang dikenali sebagai Tripple X System itu, ia dapat mencegah murid daripada memuat turun perkara yang tidak elok melalui internet.

"Memang sebelum ini kita mendapat makluman yang mengatakan ada beberapa murid telah menyalahgunakan e-Book yang diberi kepada mereka tetapi ia kes terpencil yang melibatkan empat pelajar sahaja.

"Itu pun abang mereka yang terlibat memuat turunkan perkara tidak baik ke dalam e-Book dan sebagai langkah pencegahan kita telah mengarahkan pegawai komputer di setiap sekolah supaya memasukkan perisian anti-porno," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (PAS-Ladang) yang mahukan penjelasan berhubung keberkesanan e-Book dan implikasinya kepada pelajar, pada sidang dewan DUN Terengganu hari ini.

Ahmad Razif berkata beberapa pegawai daripada Kementerian Pelajaran juga telah ke Terengganu baru-baru ini untuk melihat pelaksanaan sistem e-Book dan mereka turut menyatakan minat supaya sistem itu diperluas.

"Disebabkan ia melibatkan implikasi kewangan besar, mereka masih mengkaji apa yang perlu dilakukan oleh kementerian.

"Mereka merasakan program ini amat berjaya dan telah menampakkan kematangan serta peningkatan murid dari segi pemahaman penggunaan komputer," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata setakat ini, tiga negeri iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak menyatakan minat untuk membeli e-Book yang dikeluarkan Terengganu.

Malah, katanya kerajaan negeri juga telah membekalkan beberapa unit e-Book ke Brunei untuk dipertimbangkan sebagai pengganti kepada buku teks yang digunakan sekarang kerana sukatan pelajarannya lebih kurang sama dengan Malaysia.

Beliau berkata Terengganu mempunyai hak ekslusif untuk memasarkan e-Book ke negara-negara di rantau Asia Tenggara. BERNAMA