BERITA

Tangguh hukum Kartika hingga ada tukang sebat syariah

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Ogs 2009, 1:52 tengahari

Hukuman sebat terhadap model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno kerana kesalahan minum arak akan ditangguhkan sehingga Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai kepakaran untuk melaksanakan hukuman itu mengikut undang-undang syariah.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Jabatan Penjara tidak mempunyai tukang sebat yang berkemahiran untuk melaksanakan hukuman mengikut cara dan kaedah syariah.

"Saya kena akui kita tak ada pengalaman dalam kes ini. Dari segi tanggungjawab saya difahamkan bahawa di bawah akta negara, kita (KDN) dipertanggungjawabkan tapi tak mungkin akan saya benarkan kita laksanakan hukuman itu sekiranya tidak mempunyai kemahiran, kepakaran dan tidak ikut hukum dan cara yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kepimpinan Petunjuk Bidang Keberhasilan Utama Negara di KDN.

Beliau diminta mengulas mengenai penangguhan hukuman sebat terhadap Kartika yang dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Kuantan pada 18 Julai lepas kerana meminum arak di sebuah hotel di Cherating, Pahang.

Semalam pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Perpaduan dan NGO Pahang Datuk Mohd Safri Abdul Aziz dilaporkan berkata bahawa penangguhan hukuman sebat itu diputuskan oleh Ketua Hakim Syarie negeri Datuk Abdul Rahman Yunus bagi menghormati bulan Ramadan.

Hishammuddin berkata Jabatan Penjara tidak memiliki tukang sebat syariah kerana selama ini tiada keperluan untuk jawatan berkenaan diwujudkan.

"Selagi KDN tidak bersedia, selagi itu hukuman ini tidak dibuat. Bagi saya kalau kita tak ada orang yang buat, macam mana kita nak laksanakan hukuman secara adil.

"Islam menuntut, kalau nak laksanakan mesti ikut hukum dan secara adil. Berapa lama masa yang diambil, jika kita boleh adakan (tukang sebat) dalam masa sehari, esok saya bersedia (untuk melaksanakannya)," katanya.

Pelaksanakaan hukuman itu, kata Hishammuddin, akan tetap dilaksanakan sebagaimana yang ditetapkan oleh mahkamah namun ia perlu mengikut kaedah dan syariat yang dibenarkan.

"Selama ini tidak ada keperluan, jadi tidak ada hukuman sebegini rupa dan kita tidak dipertanggungjawabkan. Tapi sekarang dah ada, jadi kita kena bersedia.

Ketika ditanya mengenai keperluan untuk mewujudkan Penjara Syariah bagi menangani kes dan hukuman syariah, Hishammuddin berkata perkara itu bukan satu keperluan pada masa ini. BERNAMA

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.