Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Ong: Ramai pemimpin, ahli MCA sokong saya

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat menegaskan ramai di kalangan pemimpin dan anggota parti itu menyokong tindakannya mahukan isu penyelewengan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) diambil tindakan.

Katanya, beliau akan tetap bersuara dan mengambil tindakan berhubung isu PKFZ walaupun terpaksa berhadapan dengan tohmahan sehingga memaksanya membawa isu itu ke mahkamah bagi membersihkan namanya.

Beliau memberita pemberita demikian selepas mengadakan pertemuan dengan kira-kira 400 pemimpin dan ahli MCA dari 15 bahagian di negeri ini di sebuah restoran di Jalan Naib Long di Tangkak hari ini.

Di majlis itu mereka turut berkumpul di luar restoran dan memasang sepanduk yang menyokong Ong dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat skandal PKFZ.

Ong berkata, beliau turut terharu dengan pertemuan 15 daripada 26 bahagian MCA Johor yang telah menyatakan sokongan kepadanya dalam usaha untuk menegakkan kebenaran mengenai isu skandal PKFZ.

Pada masa ini katanya, anggota MCA sedang dalam usaha mengumpul tandatangan untuk menyokong beliau supaya menuntut semula wang pembayar cukai berjumlah RM1.5 bilion itu.

"Saya terharu (usaha kumpul tandatangan) kerana ini adalah satu titik tolak baru yang menandakan MCA sekarang mengamalkan budaya politik yang bersifat telus dan bertanggungjawab, walaupun apabila saya berbuat demikian (tindakan isu PKFZ) saya terpaksa berdepan dengan tohmahan dan fitnah."

"Walaupun tindakan saya itu memberi risiko kepada kerjaya politik saya tetapi itu adalah kenyataan berdasarkan kebenaran dan saya akan tetap membawa isu PKFZ itu supaya dapat diselesaikan," katanya.

Presiden MCA itu bagaimanapun enggan mengulas isu pemecatan timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek atau tindakan enam bahagian MCA di Johor yang bukan sahaja mahukan pemecatan tersebut ditarik balik, tetapi juga kuasanya sebagai presiden dilucutkan sementara.

"Saya tak nak cakap mengenai isu lain. Apa yang lain akan saya hantar melalui blog saya. Dalam amalan demokrasi kita tidak pernah menyekat sesiapa untuk bersuara..." katanya. Bernama